
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan telah melancarkan program Satu Jam Bersama al-Quran peringkat negeri yang diadakan di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Program itu merupakan langkah penting untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan penjawat awam sebagai permulaan, sekali gus membina budaya kerja UMI iaitu ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan agar dapat dilaksanakan dengan penuh amanah serta berkesan.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, strategi ini selaras dengan dasar “Penghayatan Membangun Bersama Islam” yang menjadi teras pentadbiran negeri.
“Kerajaan Negeri akan terus beriltizam menjunjung perintah al-Quran dalam tadbir urus negeri yang bukan sahaja menjadi slogan, tetapi membentuk akhlak dan kecemerlangan kerja,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha ini bukan sekadar program simbolik, tetapi satu pendekatan yang diharapkan mampu menyuburkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga pentadbiran negeri.
“Kita mahu setiap langkah pentadbiran berteraskan petunjuk al-Quran supaya keberkatan dan kejayaan dapat dicapai,” ujarnya.
Nassuruddin berharap seluruh penjawat awam dan rakyat Kelantan dapat membaca, memahami, menghayati serta mengamalkan al-Quran yang menjadi kunci kejayaan di dunia dan di akhirat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar DiRaja Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Juga pimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan pentadbiran negeri. – HARAKAHDAILY 14/8/2025




















