Tangani tragedi jalan raya libat kenderaan berat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kita boleh gantikan kenderaan, kita boleh baiki jalan. Tetapi kits tidak boleh gantikan nyawa, anak jadi yatim, ibu kini menangis dan rakyat menanti bukan sekadar janji manis, tetapi tindakan sebenar di sini.

- Advertisement -

“Jadi kita tunjukkan bahawa Parlimen kita ini tidak tuli terhadap jeritan rakyat, mohon supaya tragedi menjadi titik perubahan bukan sekadar catatan berita yang akan dilupakan,” kata Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak).

Ucapannya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini merujuk kepada kemalangan membabitkan kenderaan berat termasuk kejadian tragis yang berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam.

Kata beliau lagi, masalah membabitkan kenderaan muatan lebih menggunakan jalan kampung turut mengundang kebimbangan komuniti tempatan terhadap risiko keselamatan pelajar sekolah yang menggunakan laluan sama.

Menurutnya, aduan demi aduan dilakukan yang memakan masa bertahun-tahun, namun tiada sebarang tindakan konkrit dilakukan oleh pihak berkuasa, apabila berlaku kemalangan menyayat hati semua masing-masing menuding jari.

Beliau turut mengemukakan kepada kerajaan agar dilakukan sebaik mungkin termasuk melaksanakan audit secara menyeluruh ke atas semua kenderaan kerajaan mahupun swasta selain menyediakan laluan khas untuk lori-lori.

“Pemasangan kamera had laju dan pemantauan automatik di laluan yang berisiko tinggi, serta penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk menyiasat tragedi di Jalan Chikus-Sungai Lampan dalam Parlimen saya.

“Seterusnya bayar pampasan segera dan menyeluruh kepada keluarga mangsa terbabit dengan jaminan sokongan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Salak.

Dalam perbahasan itu beliau turut membangkitkan isu hasil pengeluaran padi yang dilihat terlalu rendah di kawasan penanaman padi di FELCRA Seberang Perak meskipun mempunyai keluasan lebih kurang 3,000 hektar.

Beliau mempersoalkan kenapa pengeluaran padi masih rendah sekitar tiga hingga lima tan metrik semusim iaitu gagal mencapai produktiviti sawah persendirian yang diusahakan sebagaimana di Sekinchan Selangor.

“Sekinchan kadar purata pengeluarannya tujuh sehingga lapan metrik tan per hektar semusim, FELCRA Berhad, badan korporat pertanian sepatutnya mampu mencapai tahap lebih besar setelah diusahakan hampir 40 tahun.

“Tetapi pendapatan hasil padi setiap peserta masih terus rendah, justeru Pasir Salak mencadangkan satu forensik audit yang menyeluruh perlu dijalankan ke atas pengurusan estet FELCA Seberang Perak mulai sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025

- Advertisement -