
KUALA LUMPUR: Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada rakyat serta netizen di seluruh negara, khususnya di Sabah, yang membongkar kes buli hingga mengorbankan seorang pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, pendedahan itu memberi harapan besar kepada rakyat agar kes-kes buli lain turut mendapat perhatian dan pembelaan segera daripada kerajaan.
“Fenomena buli dalam negara jelas sudah berada di luar kawalan apabila bertukar menjadi pembunuhan berkumpulan yang membawa kematian dan kecederaan seperti kes Allahyarham Zulfarhan (Osman Zulkarnain), Allahyarham Wan Ahmad Faris (Wan Abdul Rahman), Allahyarham Syamsul Haris (Shamsudin).
“Dan terbaru Allahyarhamah Zara Qairina. Ia adalah indikator jelas kegagalan sistem pendidikan negara dan lampu amaran kepada masa depan negara yang membimbangkan,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menurut beliau, sikap memilih bulu segelintir pemimpin dalam menangani isu buli serta tindakan kerajaan yang seolah-olah enggan meraikan suara rakyat menggambarkan runtuhnya kualiti kepimpinan dalam negara.
Memetik sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari, beliau menegaskan bahawa umat terdahulu dibinasakan kerana bersikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang, melepaskan golongan berkedudukan yang bersalah, tetapi menghukum mereka yang tiada kedudukan.
Walau bagaimanapun, Tuan Guru Zulkifli menegaskan bahawa kesungguhan rakyat, generasi muda dan netizen dalam membongkar kes-kes sedemikian memberi harapan besar bahawa perubahan yang menyelamatkan negara masih boleh dilakukan, sekali gus menghapuskan fenomena pilih kasih.
“Sesungguhnya keberanian rakyat generasi muda dan netizen negara ini bukan sahaja akan menjadi elemen semak dan imbang serta ejen perubahan yang berkesan.
“(Ia) bahkan lebih besar dari itu sebagai rakyat yang berani menegur kecuaian kerajaan, mereka akan berupaya menyekat pemimpin-pemimpin diktator dan gila kuasa daripada berkuasa dan muncul dalam negara ini.
“Inilah peranan penting yang anda semua lakukan. Seperti disimpulkan oleh Ira Chaleff dalam bukunya ‘To Stop A Tyrant’ yang menyatakan bahawa tatkala kelihatannya bahawa pemimpin-pemimpin melahirkan pengikut-pengikut mereka, adalah sama benarnya juga bahawa pengikut-pengikut itulah yang melahirkan pemimpin pemimpin mereka.
“Rakyat yang baik akan melahirkan pemimpin yang baik, manakala rakyat yang membiarkan kezaliman akan melahirkan pemimpin serta diktator yang zalim,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











