
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN–Arau) menegaskan bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Pusat menghapuskan label ‘negeri miskin’ yang sering dilekatkan kepada Perlis sejak Merdeka.
Sebaliknya beliau menggesa agar memastikan negeri itu mencapai status berpendapatan sederhana seperti negeri lain, ketika membahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mempersoalkan peruntukan pembangunan yang tidak seimbang antara negeri, dengan memberi contoh Pulau Pinang menerima RM11 bilion berbanding hanya sekitar RM110 juta untuk Perlis, walaupun KDNK per kapita negeri itu jauh lebih rendah.
“Kalau Perlis miskin, itu tugas Kerajaan Pusat untuk menjadikannya tidak miskin. Jangan miskinkan kami sepanjang hayat. Burung Tiong Burung Dokeh, warna bulunya cukup pekat, Perlis bukan negeri lekeh, jangan miskinkan kami sepanjang hayat.
“Tugas Kerajaan Pusat untuk bagi jadi tak miskin, kalau sekiranya kita luluskan peruntukan saya tengok, peruntukan yang dipohon tahun lepas RM150 juta diluluskan RM107 juta tapi tidak dimasukkan secara penuhnya pembinaan sosial ekonomi,” tegas beliau sambil berpantun.
Beliau berkata, sekiranya pendapatan kerajaan negeri bertambah dengan lebih banyak pertumbuhan kawasan baru ataupun pembinaan kawasan perindustrian dibuat, maka Perlis tidak akan miskin.
“Saya tidak setuju dengan perkataan miskin ini, saya minta supaya sudah sampai masanya Malaysia negara maju, mesti negeri itu berpendapatan sederhana sebagai contoh Perlis, KDNK ialah RM6.55 bilion, Pulau Pinang RM121.496 bilion perkapita.
“Jadikan Perlis seperti negeri-negeri lain mesti berpendapatan sederhana, sebahagian besar daripada harta Kerajaan Pusat itu mesti di ‘share’ bersama dengan negeri-negeri supaya jadi tak miskin,” tegas beliau.
Beliau juga memberi contoh dari empat negeri yang selalu mendapat kurang peruntukan di mana Kelantan menyumbang 50 peratus tenaga kerja profesional di negeri Perlis dan juga di Putrajaya.
“Saya bagi contoh Kelantan, SPM dapat yang terbaik sepanjang masa dan kita lihat apa tu di Perlis ada 14 jabatan negeri, 67 jabatan Persekutuan, lebih 50 peratus ketua jabatannya ialah daripada orang Kelantan.
“Demikian juga di peringkat Pusat, jadi makna kata bina insan mereka cukup tinggi di negeri mereka, miskin tapi mereka sebenarnya membina, memberi sumbangan kepada negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











