Gesa bangunkan Perlis setara dengan wilayah maju

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi tumpuan kepada projek strategik di Perlis seperti Perlis Inland Port (PIP) dan Cuping Valley Industrial Area (CVIA).

- Advertisement -

Namun beliau menegaskan agar pelaksanaan pembangunan negeri itu dilaksanakan setara dengan wilayah maju lain.

Beliau turut memohon penambahbaikan fasiliti di pintu masuk Wang Kelian agar dinaik taraf kepada empat lorong seperti di sempadan Thailand, selain memperkasa Pelabuhan Kuala Perlis dan kawasan pertumbuhan Kuala Sanglang bagi merancakkan ekonomi.

“Di Thailand ada empat lorong bangunan baru, di Perlis dua lorong, dua lorong sempit jadi kita minta supaya Perlis juga dijadikan empat lorong. Negara jiran membina pintu masuk dengan hebat, tetapi kita masih di takuk lama,” tegasnya sambil membandingkan keadaan dengan kemudahan di Tebedu, Sarawak dan Entikong, Kalimantan Barat.

Shahidan turut menggesa Kementerian Pendidikan melaksanakan projek sekolah asrama penuh di Arau yang telah diluluskan oleh mantan menteri sebelum ini, namun belum direalisasikan.

“Di Arau saya minta supaya Menteri Pendidikan dulu, Datuk Maszlee Malik telah luluskan satu sekolah asrama penuh, saya minta itulah tapi sampai sekarang tidak ada dibuat dan menteri sekarang saya ingat tak tahulah apa saya tak mahu tegur dia sebab netizen telah tegurnya dengan teruk, pertimbangkan apa yang saya minta,” kata beliau.

Menyentuh soal pembangunan luar bandar, beliau mengingatkan tentang kejayaan Buku Merah era Tun Abdul Razak yang menjadi inspirasi kepada model Saemaul Undong di Korea Selatan.

“Ditakdirkan Allah saya hidup bersama dengan kehidupan tersebut JKK ‘buku merah’ selepas itu Korea datang belajar daripada Malaysia konsep ‘buku merah’ yang telah diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Dan mereka perkenalkan Saemaul Undong, Saemaul Undong di Korea sekarang ni telah mencapai taraf dunia dan Korea ialah negara maju melalui pendekatan Saemaul Undong,” jelas beliau ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.

Menurutnya, walaupun penduduk luar bandar kini hanya sekitar 22 peratus, peruntukan RM11 bilion seharusnya lebih fokus kepada membina modal insan dan peluang pekerjaan, bukan sekadar infrastruktur yang tidak menjamin kesejahteraan ekonomi penduduk.

Beliau mengingatkan bahawa kedudukan istimewa Bumiputera seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diubah tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Katanya, matlamat 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera masih belum tercapai kerana data 2019 menunjukkan pencapaian hanya sekitar 17 peratus, itu pun majoritinya melalui pegangan GLC.

“Kita di Malaysia ni dari segi demografi, Bumiputera 70 peratus, bermakna Orang Cina 22.6 peratus dan Orang India 6.6 peratus, Orang Islam 64 peratus maka semasa diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, diperkenalkan Melayu Sabah dan Sarawak ni sebagai Bumiputera jadi perkataan Bumiputera tu dia letakkan.

“Matlamat untuk capai 30 peratus sehingga tahun 2019 kita baru capai 17 peratus, itu bukan individu tetapi ekuiti yang dipegang oleh GLC, GLC bukan Bumiputera, dia ialah untuk semua rakyat Malaysia,” tegasnya.

Menurut beliau tahun lepas, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM11 bilion kepada kawasan luar bandar, namun pada masa ini, hanya 22 peratus penduduk negara tinggal di luar bandar, mungkin ada sedikit di Hulu Langat, sedikit di Arau dan jumlahnya tidak ramai.

Peruntukan sebanyak RM11 bilion itu kebanyakannya digunakan untuk membantu agensi-agensi di bawah Kementerian Luar Bandar.

“Persoalannya, mengapa tidak digunakan sebahagian daripada peruntukan ini untuk membina insan?” soal beliau.

Beliau memberi contoh, di Sarawak terdapat sebuah projek pembinaan jalan bernilai RM200 juta yang hanya memberi manfaat kepada 200 orang penduduk.

“Jika ditanya kepada saya, lebih baik kita memberi setiap orang itu RM1 juta untuk mereka berpindah ke kawasan bandar dan mendapat peluang pekerjaan di sana. Dengan cara ini, mereka juga boleh mengembangkan pemasaran produk-produk mereka.

“Sebaliknya, membina jalan bernilai RM200 juta tidak menjamin mereka akan mendapat pekerjaan atau pasaran bagi hasil dan produk mereka,” tambah beliau lagi.

Shahidan turut mencadangkan pengeluaran KWSP Akaun 1 sebanyak 30 peratus, di mana pernah dilakukan oleh dua Perdana Menteri sebelum ini dan juga meminta kerajaan mengadakan pilihan raya kecil bagi 6 kerusi parlimen yang terkait dengan Akta Lompat Parti.

Beliau juga menegur amalan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang didakwa lebih memudahkan kemasukan pelancong dari China berbanding negara Asia lain, serta menggesa siasatan terhadap kes kematian kanak-kanak, Zara Qairina.

Beliau mengakhiri perbahasan dengan pantun yang menyentuh isu rombakan kabinet dan kedudukan Menteri Kewangan.

“Tentera Jepun pakai banet, Second World War penuh angan-angan, bila berlaku rombakan kabinet, Nurul Izzah Menteri Kewangan,” katanya berpantun. – HARAKAHDAILY 14/8/2025

- Advertisement -