
SERANGAN bacul negara haram Israel ke atas Republik Islam Iran baru-baru ini tidak berjaya mencapai objektif utamanya iaitu menjatuhkan kerajaan Republik Islam Iran serta menukarnya dengan kerajaan baharu boneka Barat.
Bahkan apa yang mengejutkan ialah tindak balas Republik Islam Iran dengan serangan roket balistik dan hipersonik yang menepati sasaran walaupun minoritinya dipintas oleh sistem pertahanan canggih dari Barat khususnya Amerika Syarikat serta bantuan negara-negara Arab.
Setelah 12 hari, akhirnya perang terhenti dengan pengisytiharan ‘gencatan senjata’ oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sekarang tanda-tanda pertembungan baharu antara kedua-dua kuasa ini makin hari makin jelas.
Amerika Syarikat dan Zionis Israel berulang kali membuat kenyataan akan menyerang semula Republik Islam Iran termasuk kenyataan terbaharu Menteri Pertahanan Israel, yang menyebut sasaran utama dalam pertembungan akan datang termasuk Ayatullah Ali Khamenei.
Dalam masa yang sama Republik Islam Iran juga membuat persiapan dengan mengukuhkan hubungan pertahanan dengan China serta menubuhkan Majlis Pertahanan Negara bagi memudahkan keputusan strategik diambil jika berlaku sebarang pertembungan dalam masa terdekat.
Majalah Foreign Policy menjangkakan Zionis Israel beserta Amerika Syarikat akan melakukan serangan ke atas Republik Islam Iran seawal akhir Ogos dan selewatnya akhir tahun ini.
Bagi Zionis Israel, ini adalah masa terbaik untuk menghancurkan Republik Islam Iran kerana tamparan hebat yang berlaku ke atas ‘Mihwar al-Muqawamah’ dan pimpinan Republik Islam Iran sepanjang dua tahun konflik yang berlaku.
Kejatuhan rejim Basyar al-Assad, tekanan ke atas Hizbullah di Lubnan serta kepungan ke atas HAMAS menjadi pertimbangan utama Zionis Israel dan Amerika Syarikat untuk menghapuskan terus ancaman Republik Islam Iran dan proksinya.
Ini adalah peluang terbaik yang tidak boleh disia-siakan.
Bacaan politik semasa menunjukkan Amerika Syarikat sedang merancang sesuatu yang besar walaupun dihimpit oleh pelbagai konflik semasa.
Amerika Syarikat mahu menamatkan perang Rusia dan Ukraine untuk memberikan fokus menyerang Republik Islam Iran. Sudah tentu dalam perundingan ini ada timbang balas termasuk membatas atau memutuskan terus hubungan antara Rusia dan Republik Islam Iran.
Perjanjian damai antara Armenia dan Azerbaijan juga sudah dimeteraikan oleh Amerika Syarikat. Ia dilihat sebagai langkah utama untuk menyerang Republik Islam Iran dari utara yang bersempadan dengan Azerbaijan. Dalam perang 12 hari yang lalu, kebanyakan serangan dron dari luar Iran dilakukan dari Azerbaijan yang mempunyai hubungan akrab dengan Zionis Israel.
Bunga-bunga pertembungan baharu makin jelas, tunggu masa sahaja ianya meletus.
Mengelak peperangan adalah jalan terbaik namun jika tidak dapat dielak maka ia adalah jalan yang mesti ditempuhi. Jelas kelihatan, kuasa Imperialisme Barat yang bersekongkol dengan Zionis Yahudi sedang merancang peperangan besar bagi merubah landskap geopolitik dunia ke arah sistem yang akan mengekalkan kuasa mereka.
Namun sebagai orang beriman meyakini bahawa Allah SWT juga merancang dan perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Insya-Allah masa depan milik Islam.
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
14 Ogos 2025 – HARAKAHDAILY 14/8/2025











