TDM Berhad sumbang RM1.16 juta kepada LTAWNT

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad menyalurkan pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu.

- Advertisement -

Pembayaran itu adalah hasil kejayaan projek tanaman kelapa sawit di Ladang Air Puteh, Kemaman yang diuruskan bersama TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) dan LTAWNT sejak 1996, melibatkan kawasan seluas 1,336 hektar.

Majlis penyerahan cek replika berlangsung di Wisma Darul Iman dengan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bersama barisan kepimpinan negeri dan pengurusan tertinggi TDM.

Cek diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof.

Menurut Najman, usaha sama itu membuktikan kolaborasi korporat dan kerajaan negeri mampu memberi pulangan kewangan mampan, peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Usaha sama strategik antara TDM dan LTAWNT adalah contoh terbaik bagaimana kolaborasi sektor korporat dan kerajaan negeri dapat memaksimumkan potensi industri perladangan negara.

“Kejayaan ini bukan sahaja memberikan pulangan kewangan yang mampan kepada kedua-dua pihak, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi tempatan.

“(Juga) mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, selain memberikan pulangan kewangan signifikan kepada kerajaan negeri, TDM turut menyokong inisiatif meningkatkan produktiviti tanah terbiar serta memacu kelestarian pertanian menerusi amalan perladangan mampan.

“TDM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan produktiviti tanah terbiar sekali gus memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit.

“Usaha ini selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Kata beliau lagi, sebagai kumpulan yang berteraskan sektor perladangan dan penjagaan Kesihatan, TDM kekal komited untuk meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu dan memastikan setiap projek yang dijalankan memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat.

“Dengan landasan kukuh ini, TDM yakin usaha sama bersama LTAWNT akan terus berkembang sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negeri Terengganu pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025

- Advertisement -