
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan tiga dokumen strategik utama bagi memperkukuh pembangunan ekonomi negeri sehingga tahun 2030.
Ia merangkumi Dasar Pembangunan Pelaburan dan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030, Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH) 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelancaran itu menjadi titik penting untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri mesra pelabur, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Dalam dunia yang serba pantas dan penuh cabaran ini, Terengganu mesti berada di tengah gelombang transformasi, bukan sebagai pemerhati tetapi sebagai pemain utama.
“Oleh yang demikian, dasar-dasar yang kita rasmikan pada hari ini adalah merupakan suatu dokumen strategik yang saling lengkap-melengkapi, saling mengukuh dan saling.
“Paling penting, berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bercirikan kesan limpahan atau ‘spill-over effect’ yang lebih besar buat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran dasar berkenaan, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Beliau berkata, Dasar Pembangunan Pelaburan dan Perindustrian memberi fokus kepada enam kluster utama iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.
“Dasar ini diselaraskan dengan agenda pembangunan nasional dan dapat dicapai melalui enam teras pelaksanaan dan 22 strategi seperti penyediaan insentif yang lebih menarik.
“(Juga) peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, penambahbaikan infrastruktur serta pengurusan tanah yang lebih sistematik dan mesra pelabur,” katanya.
Selain itu, PITIH 2030 digerakkan untuk mengarusperdanakan teknologi hijau, termasuk tenaga hijau sebagai sumber ekonomi baharu negeri, memanfaatkan aset seperti sungai, empangan dan radiasi solar.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk projek Hibrid Hidro-Floating Solar di Tasik Kenyir, projek LOGI Hidrogen PETRONAS, Taman Perindustrian Kemaman bagi industri hiliran CCUS (Carbon Capture, Utilization and Storage) serta projek rintis kincir angin di Kemaman.
“Berdasarkan anggaran semasa, jumlah penjanaan tenaga hijau di negeri ini bakal mencecah 4 gigawatt pada tahun 2030, iaitu bersamaan 20 peratus penjanaan tenaga hijau semasa negara.
“Tidak ramai yang sedar bahawa ini menjadikan Terengganu sebagai antara penjana tenaga hijau tertinggi di Malaysia dan berperanan penting membantu negara untuk mencapai matlamat pelepasan gas rumah hijau sifar bersih atau Net Zero Greenhouse Gas Emission menjelang 2050,” katanya.
Sementara itu, RTEDT pula memacu pembangunan ekosistem digital negeri melalui lima teras iaitu Kerajaan Digital, Infrastruktur Digital, Komuniti dan Bakat Digital, Industri Digital serta Usahawan Digital.
Ahmad Samsuri berkata, pelaksanaan dasar-dasar berkenaan memerlukan sokongan padu daripada penjawat awam, pelabur dan rakyat bagi memastikan ia tidak sekadar menjadi dokumen di atas kertas.
“Idea yang mulia tidak akan hidup tanpa tindakan. Gerakkan ia, hidupkan idea-idea ini dan biarkan geloranya membina masa depan kita yang diimpi-impikan. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita merealisasikannya.
“Agar anak-anak dan generasi akan datang di negeri ini dapat berbangga dengan kita untuk menyediakan negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera buat mereka.
“Ada juga suara kecil yang terpencil yang dengan sinis menyebut bahawa bermacam dasar dan perancangan strategik negeri telah dilancarkan, tetapi mananya pembangunan yang dibawa?
“Tak apalah, mungkin makna sebuah pembangunan pun mereka terkeliru. Mungkin ini juga maksud peribahasa Melayu, agak lebih daripada agih, iaitu mereka ini adalah dari jenis yang banyak bicaranya tetapi kerjanya sedikit sahaja.
“Yang penting, kita dengan berjiwa besar menjadikan sindiran mereka sebagai kata semangat untuk kita terus bekerja. Ingatlah, kita tidak mahu mengulangi cerita benar belasan tahun.
“Berbagai projek yang dilancarkan dan dilaksanakan di negeri yang tercinta ini, tetapi bukan sedikit jutaan ringgit yang tinggal menjadi gajah putih akibat dendam sesama sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025




















