Kerajaan gagal tangani kes Zara, rakyat berhimpun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan rakyat Sabah terpaksa berhimpun beribu-ribu orang termasuk di beberapa negeri dan negara luar untuk menuntut keadilan berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir adalah satu kebangkitan.

- Advertisement -

Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, perkara itu jelas menunjukkan kerajaan telah gagal melaksanakan tugas asas menjaga kepentingan rakyat sendiri di Sabah.

“Kes Zara Qairina memang sangat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila pihak berwajib di sebelah sana seolah-olah tidak begitu mengendahkannya sebelum ini.

“Banyak perkara yang patut dilaksanakan seperti ‘post-mortem’ yang menjadi sebahagian SOP kematian mengejut tetapi tidak dibuat,” ujarnya.

Menurutnya, dalam kes kemalangan atau kematian yang tidak diketahui puncanya, kerajaan sepatutnya memastikan ‘post-mortem’ dilaksanakan bagi mengelakkan timbul keraguan.

Tambahnya lagi walaupun terdapat kes di mana keluarga mangsa tidak mengizinkan ‘post-mortem’ dibuat, ia terpaksa dilakukan juga demi kebaikan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan punca kematian setiap warganegara dikenal pasti. Jika ada unsur pengkhianatan, siasatan mesti dilakukan. Tetapi dalam kes Zara, sebaliknya berlaku apabila jenazah terus dikebumikan tanpa ‘post-mortem’,” tegasnya.

Beliau bersyukur kerana akhirnya selepas didesak, ‘post-mortem’ dilakukan sehingga kubur Allahyarhamah Zara digali semula walaupun kelihatan seperti terpaksa.

“Kira bagus jugalah daripada langsung tiada tindakan sebelum ini. Kini kita lihat ia ditangani sama ada dari ketua menterinya, gabenornya, sampailah kepada Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri kini telah bersuara,” katanya lagi.

Tambahnya keadaan ini merupakan titik hitam bukan sahaja di peringkat kerajaan negeri Sabah, malah dalam aspek keprihatinan kerajaan terhadap warganegara sendiri.

Sehubungan itu beliau menyeru supaya proses siasatan kes ini dilakukan dengan telus demi keadilan untuk semua pihak.

Zara Qairina, 13, merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu, Sabah yang dilaporkan meninggal dunia pada 25 Julai lalu.

Kematian remaja itu mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh negara, malah mengundang solidariti di beberapa negara luar termasuk Thailand.

Desakan daripada pelbagai pihak termasuk keluarga arwah dan netizen akhirnya memaksa pihak berwajib menjalankan ‘post-mortem’ selepas jenazah dikebumikan lebih tiga minggu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. – HARAKAHDAILY 13/8/2025

- Advertisement -