
KUALA LUMPUR: Bulisme bukan sahaja berlaku di sekolah, malah turut menular di tempat kerja, berpunca daripada segelintir individu dalam masyarakat yang merasa tidak selamat atau terancam, tegas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Dato’ Ridza Abdoh Salleh.
Mengulas kes tragis kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, beliau menegaskan kerajaan tersilap fokus apabila mahu melaksanakan audit keselamatan sebagai langkah pencegahan.
“Ini bukan sahaja salah, malah satu khayalan. Isunya bukan tentang keselamatan, ia tentang budaya. Kita membiarkan budaya yang salah ini wujud dan mengabaikan kewujudannya,” ujarnya.
Katanya, budaya bulisme telah berakar sejak dahulu lagi, bahkan pada tahun 1970-an ia bermula dengan aktiviti orientasi yang kemudiannya meningkat menjadi ‘ragging’ dan akhirnya membawa kepada bulisme.
“Pihak sekolah tahu perkara ini. Tetapi tiada siapa yang mengambil tindakan. Hari ini, ada yang mati atau separuh mati, namun masih tiada siapa yang bertindak atau tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya semua bentuk orientasi dan perbuatan membuli (ragging) yang menjadi punca bulisme di sekolah dan universiti diharamkan sepenuhnya.
“Sesiapa yang didapati terlibat, pecat mereka. Jangan lupa untuk memecat juga warden, pengetua, dan naib canselor. Apabila kerajaan menunjukkan kesungguhan, semuanya akan mengikut peraturan.
“Budaya bodoh ini akan lenyap secara automatik, haramkan dan buat sahaja,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











