
ALOR SETAR: Tragedi kematian Zara Qairina Mahathir bukan sekadar kisah duka seorang remaja, ia kini menjadi lambang kebangkitan suara rakyat menuntut keadilan sebenar, menolak penindasan yang cuba disapu di bawah karpet.
Ketua Penerangan Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA), Muhammad Haikal Muhamad Radzi berkata, di sebalik janji kerajaan untuk berlaku adil, rakyat sudah muak dengan retorik kosong.
“Mereka mahu kebenaran dibongkar, walau siapapun yang perlu dibawa ke muka pengadilan. Kes ini mesti disiasat menyeluruh, telus dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak berkepentingan.
“Kebenaran wajib ditegakkan walau apa pun harga yang perlu dibayar.
Keadilan untuk arwah Zara adalah keadilan untuk semua yang pernah dinafikan hak mereka,” tegasnya.
Terdahulu, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan itu ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian.
Namun, ujarnya, kejanggalan dalam siasatan awal termasuk ketiadaan bedah siasat sebelum pengebumian menimbulkan tanda tanya besar, mencetuskan badai kemarahan di media sosial dengan tanda pagar #JusticeForZara menjadi laungan digital rakyat seluruh negara.
“Dakwaan buli, campur tangan Tetamu Kehormat (VIP) dan ketidakseriusan pihak tertentu hanya menambah luka kepada keluarga mangsa.
“Ibu arwah, dengan hati yang remuk, menuntut siasatan telus demi mencari kebenaran di sebalik kematian anak tunggalnya,” ujar Muhammad Haikal.
Menurut beliau lagi, tekanan awam akhirnya memaksa tindakan termasuk arahan Jabatan Peguam Negara untuk menggali semula kubur Zara bagi menjalankan autopsi penuh.
“Ribuan rakyat turun padang, berdiri bahu membahu bersama keluarga mangsa, membuktikan bahawa air mata dan kemarahan ini milik seluruh rakyat, bukan keluarga mangsa sahaja,” ujarnya.
Katanya lagi, kes tersebut telah melangkaui sempadan tragedi peribadi ia kini menjadi ujian terhadap keberanian pihak berkuasa menegakkan keadilan tanpa gentar kepada kuasa atau kedudukan.
“Rakyat sedang memerhati. Mereka tidak akan berhenti bersuara sehingga kebenaran itu muncul, walau setitis pun,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











