
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan sama ada terdapat perancangan untuk menggantikan pinjaman peribadi kepada pembiayaan berasaskan tujuan tertentu, di samping menguatkuasakan kaedah pembiayaan peribadi yang bertanggungjawab.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, peningkatan hutang isi rumah dibimbangi boleh membuka ruang kepada gejala rasuah, khususnya jika melibatkan penjawat awam yang pendapatan sedia ada dilihat tidak mampu menampung keperluan.
“Jika berlaku kepada orang awam, dibimbangi akan terlibat dengan ‘Ah Long’ dan kewangan tidak berlesen,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama katanya, trend kelulusan pinjaman sehingga RM400,000 kepada mereka yang berpendapatan sederhana khususnya penjawat awam sedang mendorong mereka ke arah perangkap hutang jangka panjang
Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya akan sentiasa berbincang dengan penjawat awam yang menghadapi masalah kewangan, termasuk melibatkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Bagi bank, kita ada ‘debt service ratio’, kita memang memantau. Pada masa sekarang, median adalah 34 peratus. Memang kos sara hidup sudah meningkat, memang penjawat awam sebahagiannya menghadapi masalah.
“Jadi untuk makluman, kita memang sudah melalui Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kita juga telah menaikkan gaji untuk penjawat awam. Kita juga akan terus memantau melalui literasi kewangan kepada penjawat awam,” katanya.
Abdul Latiff dalam soalan asal minta Menteri Kewangan menyatakan langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Di samping bertanya sejauh mana relevannya institusi kewangan memberikan kelulusan pinjaman sehingga RM400,000 kepada individu yang berpendapatan sederhana.
Turut disoalnya berkenaan langkah kawalan bagi memastikan kestabilan kewangan isi rumah. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











