
KULIM-BANDAR BAHARU: Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat berbilang kaum apabila menyerahkan sumbangan penghawa dingin kepada Persatuan Shirdi Sai Baba Kulim, di sini kelmarin.
Sumbangan itu sebagai memenuhi keperluan pusat komuniti tersebut yang sudah lama menggunakan kelengkapan lama dan memerlukan penggantian, khususnya pemasangan penghawa dingin baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wong Chia Zhen menyempurnakan serahan sumbangan tersebut.
Beberapa bulan lalu, Wong menerima kunjungan ahli jawatankuasa persatuan berkenaan termasuk pemimpin GERAKAN Pulau Pinang, Sivasuntaram Rajalinggam Pillai yang memaklumkan mengenai masalah tersebut.
“Hari ini saya menunaikan janji yang dibuat dalam perjumpaan itu dengan menyerahkan sumbangan ini. Semoga Kulim Shirdi Sai Baba Centre terus menjadi pusat komuniti yang selesa, aktif dan memberi manfaat kepada penganutnya,” katanya.
Ujar Wong, bantuan yang disalurkan membuktikan Kerajaan Negeri Kedah sentiasa prihatin terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan matlamat membina negeri yang aman, harmoni dan bersatu padu. – HARAKAHDAILY 12/8/2025




















