
KUALA LUMPUR: Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) membangkitkan isu buli yang menggemparkan negara ketika ini ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
Beliau bertanyakan sama ada Kementerian Sumber Manusia mempunyai perancangan selaras dengan keperluan menangani aspek kesihatan mental di tempat kerja.
Iaitu katanya untuk memasukkan elemen Bantuan Kecemasan Psikologikal (PFA) dalam modul Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).
“Negara kita di gemparkan dengan isu buli, itu menunjukkan ada berkaitan dengan masalah kesihatan mental.Adakah Kementerian ada perancangan untuk modul OSH Coordinator ini untuk keperluan PFA?” soal beliau.
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia memaklumkan bahawa isu buli tertakluk di bawah akta-akta berkaitan pemburuhan dan pihak kementerian serta agensi berkaitan sentiasa mengambil tindakan terhadap kes yang berlaku.
Sebelum itu, Rushdan pada soalan asalnya meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan, adakah Kementerian mempunyai cadangan untuk mewujudkan perjawatan Koordinator OSH di sektor awam selaras dengan perubahan Akta OSH yang telah ditambahbaik pada tahun 2022.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) telah dipinda pada 2022 bagi memperkukuh peranan penyelaras keselamatan di tempat kerja, namun isu kesihatan mental dan sokongan psikologi di bawah modul tersebut masih belum diperincikan secara khusus. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











