Isu paparan harga ubat: Peranan KKM, MMC dipersoal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mempersoalkan peranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dalam isu kawal selia amalan klinikal susulan pelaksanaan pemaparan harga ubat yang menerima bantahan pelbagai pihak.

Beliau berkata, perkhidmatan rawatan perubatan bukan sekadar memberi atau menjual ubat pada harga tertentu, sebaliknya bermula daripada sesi konsultasi, perundingan, diagnosis, rawatan, dan rawatan lanjutan.

“Tempoh hari, apabila dikuatkuasakan pemaparan harga ubat, ia mendapat bantahan daripada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kesatuan pengamal perubatan swasta seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mewakili ribuan doktor di hospital serta klinik.

“Saya kira mereka tidak menghalang pengawalan caj perkhidmatan, tetapi sebagai contoh, MMA berjumpa dengan menteri yang seolah-olah akan menyelesaikan soal permintaan mereka mengenai caj perundingan sebelum pelaksanaan dasar itu,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kesihatan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Ahmad Yunus turut mempersoalkan sejauh mana perbincangan dibuat berhubung kadar fi konsultasi yang dikatakan tidak pernah disemak sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata, timbul juga kejutan susulan jawapan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang memaklumkan keputusan daripada NACCOL mewajibkan preskripsi serta menetapkan perincian urusan jual beli ubat.

Katanya, tindakan itu dilihat di luar bidang kuasa undang-undang Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk menentukan kaedah amalan perubatan, malah turut mendapat bantahan banyak badan bukan kerajaan (NGO) mewakili doktor perubatan.

“Persoalannya, di manakah peranan KKM ataupun MMC dalam menentukan kuasa kawal selia amalan klinikal di negara ini,” soal beliau yang juga Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni dalam jawapannya memberitahu, bahawa isu paparan harga ubat penting bagi menjamin akses rawatan yang adil dan bermaruah, dengan mengambil kira peranan besar klinik swasta (GP) menyokong sistem kesihatan awam.

Menurutnya, KKM memberi komitmen sejak 2018 untuk meneliti semakan fi perundingan Akta 586, mengadakan sesi libat urus menyeluruh bersama MMA dan pihak berkepentingan, serta melaksanakan pemaparan harga ubat secara berfasa dan berhemah.

Tambahnya, pelaksanaan itu turut melibatkan peranan KPDN dalam mengawal perbezaan harga ubat yang ketara, sementara aspek teknikal dinilai oleh KKM, dengan inisiatif bertujuan meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, dan kepercayaan terhadap sistem kesihatan negara.

Ahmad Yunus dalam soalan asalnya meminta Menteri Kesihatan menyatakan status fasa pelaksanaan berhemah pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti.

- Advertisement -

Serta keberkesanannya dalam mengawal caj perkhidmatan jagaan kesihatan daripada kos tersembunyi yang tidak munasabah. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -