
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan mengarahkan penggunaan tong gas ungu yang hanya dikecualikan sehingga Oktober 2025 mencetuskan kebimbangan rakyat, khususnya peniaga kecil dan penjaja makanan di luar bandar.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN- Rantau Panjang) berkata, langkah itu berisiko meningkatkan harga makanan di pasaran dan menekan pendapatan golongan berpendapatan rendah.
“Adakah kajian telah dibuat terhadap impak kenaikan ini? Dan apakah status terkini Ops Gasak yang dilaksanakan untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan terhadap Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi?” soalnya.
Beliau bertanya demikian dalam soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
Menjawab persoalan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan, pindaan Peraturan Kawalan Bekalan 2021 mengehadkan penggunaan LPG bersubsidi.
Iaitu jelas beliau, kepada maksimum 42 kilogram, dan melarang pemegang permit barang kawalan daripada menggunakannya.
Bagaimanapun katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu memutuskan untuk mengekalkan pemberian LPG bersubsidi kepada perniagaan mikro dan kecil sektor makanan dan minuman.
“Kita telah diarahkan untuk membuat pindaan kepada peraturan 2021 bagi memberi pengiktirafan dan membenarkan peniaga kecil serta mikro terus menggunakan LPG bersubsidi.
“Sesi libat urus sedang berjalan sehingga 31 Oktober untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan,” jelasnya.
Pada soalan asal, Siti Zailah minta pihak kementerian menyatakan tindakan berhubung kenaikan harga gas memasak (LPG) yang membebankan peniaga kecil dan penjaja makanan di kawasan luar bandar. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











