
ALOR SETAR: “Tinggal di rumah sendiri 58 tahun, tiba-tiba dapat tahu itu tanah orang,” begitulah nasib yang menimpa Mohd Saad Hamid, 58, bekas pemandu lori yang kini bergelut dengan kehidupan selepas dipotong kaki akibat komplikasi kencing manis.
Mohd Saad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cik Saad, sebelum ini menetap di Kota Sarang Semut, hidup berdikari bersama adiknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) mental.
Mereka bergantung kepada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM500 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Kini, sinar harapan baru muncul apabila seorang insan dermawan mewakafkan sebuah rumah kosong di Kampung Permatang Ibus, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor untuk didiami mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berkata, usaha untuk membantu Pak Cik Saad dimulakan bersama penduduk setempat.
“Alhamdulillah, sebuah rumah kosong di Kampung Permatang Ibus telah diwakafkan oleh insan pemurah untuk kegunaan asnaf di kawasan ini,” ujarnya selepas meninjau rumah berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Mardhiyyah, rumah tersebut bakal menjadi tempat tinggal baharu buat Pak Cik Saad dan adiknya, bermula September ini.
“Hari ini saya turun melihat sendiri keadaan rumah tersebut yang bakal didiami oleh Pak Cik Saad bersama adiknya. Rumah ini memerlukan sedikit baik pulih dan gotong-royong agar lebih selesa untuk diduduki.
“Insya-Allah, usaha ini akan digerakkan bersama penduduk setempat demi kebajikan saudara kita yang memerlukan,” jelasnya lagi.
Mardhiyyah turut merakamkan penghargaan kepada pewakaf yang bermurah hati demi membantu golongan asnaf di kawasan tersebut.
“Terima kasih kepada pewakaf. Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik ganjaran,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati keadaan rumah yang diwakafkan itu masih dalam keadaan asas tetapi boleh dihuni setelah beberapa kerja baik pulih kecil dilakukan seperti pemasangan paip, pengecatan semula dan pembersihan kawasan sekitar.
Difahamkan, proses pemindahan Pak Cik Saad ke rumah baharu dijangka berlaku sekitar September ini, bergantung kepada kelancaran kerja-kerja pembaikan yang sedang diusahakan. – HARAKAHDAILY 12/8/2025












