Pemilihan syarikat bagi PJRM, SARA perlu kaji semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu menilai semula mekanisme pemilihan panel syarikat pemborong, pembekal dan peruncit bagi PJRM serta SARA di bawah senarai MyKasih.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menggesa demikian ketika mencelah dalam sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

“Adakah pihak Kementerian bersedia menilai semula mekanisma pemilihan panel pemborong, pembekal dan peruncit ini
supaya para peruncit-peruncit kecil termasuk Bumiputera, traditional ini terus kekal.

“Untuk mereka bersaing secara sihat dan mereka dapat meneruskan perniagaan mereka,” katanya merujuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) serta program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu.

Menurut beliau, pemilihan yang cenderung kepada peruncit besar berkemampuan modal tinggi telah menyebabkan persaingan tidak sihat, sekali gus menekan peruncit kecil, khususnya Bumiputera.

“Di daerah saya, Sik, ada kedai runcit terpaksa tutup akibat persaingan ini. Saya minta supaya peruncit tradisional kecil terus diberi peluang bersaing secara sihat agar penerima program boleh membeli di kedai-kedai runcit sedia ada,” tegas beliau.

Menjawab soalan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu berkaitan SARA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, berhubung pelaksanaan PJRM, beliau menjelaskan kementerian memilih untuk bekerjasama dengan rangkaian peruncitan sedia ada berbanding mewujudkan kedai khas jualan murah.

Sebelum itu, Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah strategi dan inisiatif baharu yang dirancang bagi PJRM.

Ia tanya beliau, untuk memastikan peningkatan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

“Serta berapakah jumlah sebenar rakyat yang disasarkan untuk menerima manafaat secara langsung daripada program ini,” soalnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -