
KUALA LUMPUR: Satu talian ‘hotline’ merentasi kementerian dicadang untuk diwujudkan bagi mengurus persepsi masyarakat terhadap kes buli yang berlaku di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, kejadian buli kini semakin membimbangkan masyarakat sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif berikutan ketiadaan penjelasan jelas daripada pihak berkaitan.
“Contoh apabila seseorang itu membuat ‘report’, dapat kepada universiti, dapat kepada KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi), dapat kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia), serentak semua. Sekali gus dapat menguruskan persepsi masyarakat yang tidak baik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam jawapannya berkata, terdapat tujuh langkah yang akan dilakukan pihaknya berdasarkan kepada tahap keterukan kes buli tersebut.
“Bila kita bercakap tentang soal buli, dia ada pelbagai jenis buli yang berlaku. Apatah lagi di IPTA ini, pelbagai buli. Sama ada buli fizikal, buli verbal, buli siber. Sekarang ni yang popularnya ialah buli siber.
“Sebab itu di peringkat universiti ada satu jawatankuasa ataupun tindakan yang dipengerusikan oleh HEPA (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) biasanya akan mengendalikan kes-kes ini termasuk sekiranya kes itu dianggap berat,” katanya.
Afnan dalam soalan asal minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh kementerian bagi mengekang kejadian buli di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











