
KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud membawa lima projek keutamaan negeri untuk perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim demi pembangunan dan keselamatan rakyat.
Projek berkenaan adalah pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai sebagai struktur mitigasi banjir, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, Pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang.
Selain itu, Pembangunan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara.
Sehubungan itu, beliau amat menghargai sokongan dan peruntukan berterusan daripada Perdana Menteri kepada negeri Kelantan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.
Beliau berucap pada majlis perasmian Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Kelantan pada petang semalam yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, di sini semalam.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat federalisme yang diperkukuh akan membantu merapatkan jurang pembangunan antara negeri, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat secara inklusif dan berdaya saing.
“Insya-Allah, saya optimis dengan menjunjung semangat federalisme, jurang pembangunan dapat dirapatkan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini secara inklusif dan berdaya saing,” ujarnya mengiringi Perdana Menteri di program itu.
Sempena bulan kemerdekaan, beliau menyeru semua pihak terus melangkah seiring dalam suasana harmoni dan saling menghormati demi merealisasikan harapan dan aspirasi rakyat.
Pada kesempatan ini juga kedua pemimpin berkenaan berkesempatan mengunjungi restoran Amir Raja Lawak yang berada di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-V.
Beliau turut mengiringi Perdana Menteri ke majlis perasmian program Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di Dewan Profesional, UiTM Kelantan cawangan Machang pada sebelah pagi.
Seterusnya, kedua-dua pemimpin meninjau pelaksanaan projek penanaman padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Alami, Kota Bharu. – *HARAKAHDAILY 10/8/2025*




















