Harap pembayaran royalti kembali dua kali setahun

- Advertisement -

MARANG: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap kaedah pembayaran royalti petroleum dikembalikan kepada jadual asal iaitu dua kali setahun bagi memudahkan perancangan kewangan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Beliau berkata, sebelum ini pembayaran dibuat pada awal April dan Oktober setiap tahun, namun di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan sekarang, kaedah itu berubah dan menimbulkan kesukaran kepada pihak negeri.

“Perkembangan terkini royalti saya kena semak dulu jumlah yang telah diterima setakat ini. Tetapi saya rasa lebih baik kita tunggu jawapan rasmi pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Masalah pembayaran royalti tidak sebagaimana kebiasaan yang dahulu. sekarang yang dibuat secara bulanan dengan tuntutan dan sebagainya memang menyukarkan kerajaan negeri untuk merancang.

“Kita masih berharap supaya kaedah pembayaran itu dikekalkan kepada kaedah yang asal supaya senang kita nak buat perancangan. Apa pun secara terperinci saya akan sebut dalam dalam ucapan saya di Parlimen, Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  Majlis penyerahan Hak milik Tanah dan Notis 5A rancangan tanah berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dun Rhu Rendang, Marang, di Dewan Majlis Daerah, di sini semalam.

Mengulas dakwaan Perdana Menteri bahawa sebanyak RM4 bilion wang ehsan diberikan kepada Terengganu antara 2023 hingga 2025, Ahmad Samsuri berkata pihaknya perlu menyemak semula butiran itu.

“Saya kena semak dahulu sama ada jumlah itu bercampur dengan peruntukan lain di luar daripada pemahaman kami mengenai duit royalti. Jika ada soalan pada sidang DUN akan datang, kita akan beri perincian yang lebih tepat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2025

- Advertisement -