500 penduduk Rhu Rendang terima hak milik tanah

Penerima Hak milik Tanah dan Notis 5A rancangan tanah berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dun Rhu Rendang, Marang, di Dewan Majlis Daerah Marang
- Advertisement -

MARANG: Seramai hampir 500 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima surat hak milik tanah dan notis Borang 5A pada majlis penyerahan rasmi semalam.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan rakyat khususnya berkaitan pemilikan tanah.

“Sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018, kerajaan negeri telah meluluskan 3,784 lot tapak rumah dan pertanian bagi daerah Marang, manakala di DUN Rhu Rendang sahaja sebanyak 1,830 lot tanah telah berjaya diselesaikan.

“Pada hari ini, sebanyak 425 surat hak milik dan 93 notis Borang 5A diserahkan kepada penerima di beberapa Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) termasuk Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu,” katanya.

Beliau ketika merasmikan Majlis penyerahan Hak milik Tanah dan Notis 5A rancangan tanah berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dun Rhu Rendang, Marang, di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini hari ini.

Beliau selaku juga Menteri Besar berkata, penyerahan itu adalah hasil proses panjang dan teliti bagi memastikan tanah diagihkan secara adil kepada mereka yang layak.

“Kami melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami untuk urus tadbir, kerajaan negeri melihat kepada keperluan rakyat tentang keperluan tanah dan alhamdulillah kita telah melalui proses yang agak panjang dan teliti,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada penerima dan keluarga masing-masing atas penerimaan surat hak milik tanah pada hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2025

- Advertisement -