
MARANG: Penantian selama lebih sedekad berakhir gembira buat seorang ibu tunggal, Hazlina Jusoh @ Awang, 48, selepas menerima tawaran Notis 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Kediaman daripada Kerajaan Negeri Terengganu bagi merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah sendiri.
Hazlina yang kini menyewa rumah berkata, beliau amat terharu dan berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) atas peluang yang diberikan.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira sebab di usia saya 48 tahun, ini pertama kali saya dapat memiliki tanah dan saya belum ada rumah sendiri lagi.
“Sekarang menyewa, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Dr Samsuri, Kerajaan Negeri Terengganu dan juga pejabat DUN kerana telah memberi peluang kepada saya untuk merealisasi impian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A RTB Tapak Kediaman DUN Rhu Rendang, di sini semalam.
Menurut Hazlina, proses permohonan tanah itu sangat mudah dan hanya mengambil masa dua bulan selepas beliau mengundi di pejabat DUN sebelum dipanggil untuk menerima tawaran.
Beliau yang mempunyai empat anak, termasuk seorang bakal berkahwin dan masih belajar, mengakui hidupnya sebagai ibu tunggal memerlukan kerja keras.
“Siang saya buat Grab dan mengasuh anak, malam pula saya kerja bungkus nasi lemak di kedai sehingga pukul 3 pagi,” katanya yang sebelum ini beliau pernah membuat permohonan dua kali, kira-kira 10 tahun lalu, namun tidak pernah menerima maklum balas.
Katanya, inisiatif kerajaan negeri di bawah pentadbiran Dr Ahmad Samsuri jelas memudahkan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, untuk memiliki kediaman.
“Pemerintahan Dr Samsuri memang terlalu memudahkan rakyatlah, betul memberi kelebihan pada rakyat. Alhamdulillah,” ujarnya.
Seorang lagi penerima, Mohd Aizulhairi Yahaya berkata, beliau menunggu lima tahun sebelum terpilih menerima lot tanah RTB Sungai Kerak 4, Fasa 3, selepas sekali memohon.
“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat tanah ini. Terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Pejabat Tanah Marang, DUN Rhu Rendang dan JKKK yang membantu.
“Sekarang saya duduk rumah sewa bersama anak-anak kecil,” katanya yang bekerja sebagai pembaca meter.
Sementara itu, Siti Nurul Aisikin Arifin, yang juga menerima lot tanah RTB selepas lima tahun memohon berkata, beliau tidak menyangka akan mendapat tawaran itu dalam tempoh yang cepat.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mempermudahkan urusan ini.
“Sekarang saya menyewa, jadi memang harap dapat bina rumah sendiri di tanah ini,” kata ibu kepada tiga anak yang bekerja menjahit di rumah. – HARAKAHDAILY 10/8/2025























