Penulis perlu hasilkan karya bersifat intelektual

Kamarudin menyampaikan cenderahati kepada salah seorang pembentang
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penulis perlu berperanan sebagai cendekiawan yang berilmu di samping dapat menghasilkan karya bersifat intelektual dan bukan sekadar pragmatik.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, hanya orang berilmu mampu membaca dan menulis.

Oleh kerana itu katanya, karya yang dihasilkan amat wajar mencerminkan nilai keintelektualan agar ianya bermanfaat untuk masyarakat.

“Hanya orang yang pandai sahaja boleh membaca dan menulis, maka tulislah sesuatu yang bersifat intelektual, bukan semata-mata pragmatik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), di sini semalam.

Menurut Kamarudin, pragmatisme kini semakin mengatasi nilai seni, sedangkan seni Melayu menekankan adab, budi dan hikmah.

Beliau memberikan satu contoh dalam kisah Badang, pahlawan beradu dengan seteru secara budiman dan penuh taktik halus.

“Seni orang Melayu menjatuhkan lawan dengan sopan tanpa menghina seteru. Inilah ilmu yang menjadi asas peradaban,” jelasnya.

Kolokium anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan PPAK itu menghimpunkan 200 peserta bagi mendalami ketokohan enam ilmuan Islam silam dan kontemporari.

Antara pembentang utama ialah Tokoh Budayawan Sepanjang Zaman Dato’ A Aziz Deraman yang mengupas ketokohan Shaikh Daud Al-Fatoni dan Prof Madya Dr Nur Azuki dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengenai Tok Selehor.

Juga Prof Madya Dr Aila Abdul Latif dari Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) membicarakan pemikiran Imam Al-Ghazali. – HARAKAHDAILY 10/8/2025

- Advertisement -