
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 1,000 peserta untuk menyertai program Sulam Kasih Ambang Merdeka dengan menjahit sembat Jalur Gemilang secara manual.
Acara yang berlangsung di Dataran Masjid Jamek Muhammadi itu menyaksikan para peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyembat lebih 1,000 helai Jalur Gemilang menggunakan peralatan jahitan sendiri.
Kejayaan tersebut melayakkan Kelantan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan menjahit sembat Jalur Gemilang terbanyak di negara ini.
Program anjuran Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan itu turut mendapat sambutan meriah daripada pelbagai kaum, menggambarkan semangat perpaduan dan cintakan tanah air yang tinggi.
Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hadir menyempurnakan program berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata pencarian peserta telah bermula sejak 6 Julai lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Kelantan.
“Alhamdulillah dan tahniah atas semangat yang ditunjukkan oleh warga Kelantan. Kita berjaya mengumpul ramai peserta untuk menyembat bendera negara,” katanya.
Katanya lagi, sokongan masyarakat bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah memperlihatkan perpaduan, kreativiti dan cinta terhadap tanah air melalui seni jahitan.

“Jahitan tangan ini bukan sekadar benang dan kain, tetapi lambang kasih sayang serta cinta rakyat Kelantan kepada tanah air,” katanya lagi.
Menurutnya, antara peserta yang terlibat termasuk warga emas, kakitangan kerajaan, pelajar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semuanya menggunakan peralatan jahitan sendiri.
Setiap helai Jalur Gemilang yang dijahit berukuran kira-kira 0.61 meter panjang dan 1.22 meter lebar.
“Setiap sembatan pada Jalur Gemilang ini menyulam semangat perpaduan, patriotisme dan kesungguhan rakyat untuk melihat negara terus aman dan bersatu,” ujarnya.
Program tersebut sekali lagi membuktikan rakyat Kelantan sentiasa menyahut usaha memperkasakan semangat patriotisme menerusi pendekatan kreatif dan menyentuh hati masyarakat.
“Apabila seluruh lapisan masyarakat duduk bersama menjahit bendera negara, di situlah lahirnya semangat kemerdekaan yang sebenar,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2025





















