Saman fitnah: Husam diarah bayar KPK RM260,000

- Advertisement -



KOTA BHARU: Naib Presiden PAN, Dato’ Husam Musa telah diperintahkan membayar RM260,000 kepada Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd (KPK) atas kenyataan fitnahnya terhadap syarikat milik Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas mengarahkan ganti rugi RM200,000 dan kos RM60,000 dalam penghakimannya pada perbicaraan penuh kes itu, di sini semalam.

Dalam penghakimannya, defendan didapati memfitnah plaintif dengan menyatakan aktiviti pembalakan dijalankan plaintif telah menjejaskan hak Orang Asli dan syarikat plaintif telah tutup serta berlaku penyelewengan dan salah tatakelola pentadbiran.

KPK terdahulu memfailkan saman fitnah pada September 2017 selepas Husam yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan membuat kenyataan tidak benar berunsur fitnah di Facebook dan ceramahnya terhadap syarikat tersebut.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Ogos 2021 telahpun mengarahkan defendan yang kini adalah Pengerusi TH Properties Sdn Bhd di bawah Kerajaan Madani membayar sejumlah ganti rugi RM100,000 tanpa melalui perbicaraan penuh.

Bagaimanapun defendan mengemukakan rayuannya ke Mahkamah Rayuan yang kemudiannya membenarkan supaya kes berkenaan dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

KPK diwakili peguam, Wan Muhamad Hafiz Wan Zawawi, sementara Husam diwakili peguam Azham Yahya dan difahamkan mereka akan meneruskan rayuan atas keputusan tersebut. – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -