Kerjasama strategik wanita parti dan NGO, cetus K.I.T.A

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Detik bersejarah tercipta apabila pemimpin wanita dari pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan dan individu (NGO dan NGI) berkumpul dalam Pertemuan Mahabah Wanita yang berlangsung dengan harmoni di sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Mohd Salleh mempengerusikan pertemuan itu dan turut dihadiri Ketua Wanita Perikatan Nasional, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Srikandi BERSATU serta Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadilah Ashari.

Juga Ketua Pejuanita PEJUANG, Hafiza Jusoh dan Ketua Penerangan Wiranita PUTRA, Farrah Shareeza Ibrahim serta Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan dan Pengerusi MyHawa Malaysia, Noor Elina Nasruddin.

Fokus utama pertemuan ini adalah membincangkan program-program wanita merentas fahaman politik serta membina kesatuan suara wanita Malaysia demi masa depan yang lebih inklusif dan sejahtera.

Kemuncak pertemuan ialah tertubuhnya satu inisiatif bersama yang dinamakan Kesepakatan Wanita Tanah Air atau singkatannya K.I.T.A sebagai platform kolektif untuk memperkukuh jaringan wanita serta menyatukan perjuangan mereka dalam isu-isu penting negara.

“Wanita adalah tiang negara. Maka kesatuan kita adalah kekuatan sebenar untuk membawa perubahan,” tegas Nuridah yang juga bekas Ahli Dewan Negara.

Menurut Nuridah lagi, cadangan ‘Payung Besar’ yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan bahawa penyatuan antara semua parti dan pelbagai pihak adalah suatu keperluan mendesak dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Sehubungan itu katanya, wanita perlu bangkit dan memainkan peranan yang signifikan dalam menggembleng tenaga, menyusun strategi dan menyumbang ke arah kestabilan dan kepimpinan negara yang lebih baik.

Penubuhan K.I.T.A juga dilihat sebagai satu langkah progresif ke arah memperkasa suara wanita melalui pendekatan harmoni, kerjasama dan kesedaran kolektif, tanpa mengira latar politik atau organisasi.

Wakil Dewan Muslimat PAS Malaysia yang turut hadir ialah Timbalan Ketua, Dr Rosni Adam dan Naib Ketua, Salamiah Mohd Nor serta Setiausaha, Dr Nurul Hani Ali dan Ketua Penerangan, Dr Najihatussalehah Ahmad bersama beberapa Exco lain.

BERJASA turut diwakili Penolong Setiausaha Agung, Kaslawati Kassim dan Exco Undang-undang Asral Widad Ahmad Asmawi, manakala daripada Srikandi BERSATU, Exco Noor Jehan Adam dan Noor Azah Harun.

Turut hadir, Naib Ketua Pejuanita PEJUANG, Zalihah Jaafar dan Exco Wiranita PUTRA, Ruzaimah Jamaludin serta Setiausaha Wanita Perikatan Nasional, Noor Hashimah Nordin dan Timbalan Pengerusi NGO Negarawati, Tun Fiqa Mohammad serta Bendahari, Hariyati Ismail, manakala MUDA diwakili Aisyah Farhanan Mohamed dan Rashida Aljunied.

Terdahulu, persepakatan wanita ini telah menganjurkan program Munajat AKIFI Wanita sempena Himpunan Melayu Berdaulat pada 24 Mei lalu di Kelab Sultan Sulaiman, di sini. – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -