
SHAH ALAM: Jabatan Amal Malaysia mengumumkan perancangan menubuhkan sebuah kor baharu iaitu Kor Siswa Amal yang bakal dilancarkan secara rasmi dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kedah nanti.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelapis JAM, Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, Kor Siswa Amal adalah inisiatif penting dalam membina pelapis anggota Amal yang lebih dinamik, berpengetahuan, berkarisma dan bersedia menjadi pasukan kebajikan beruniform unggul.
Menurut beliau, elemen sukarelawan berasaskan semangat ‘suka dan rela’ akan menjadi teras pembentukan Kor Siswa Amal dalam melaksanakan misi kebajikan dan kemanusiaan di lapangan.
“Jabatan Amal Malaysia bersama SiswaPAS bersedia menyahut cabaran ini, insya-Allah, demi melahirkan generasi pelapis yang kuat jiwa, mantap akhlak dan cemerlang dalam gerak kerja kebajikan,” tegasnya.
Terdahulu, pengkaderan oleh badan beruniform PAS itu terus diperhebat apabila menyertai Konvensyen Pelapis pada Ahad lalu yang menghimpunkan anak-anak muda dari pelbagai latar belakang termasuk mahasiswa, golongan bekerja dan profesional.
Beritahu Shehdi, program tersebut menjadi medan penting dalam membentuk generasi pelapis yang setia, berdisiplin dan bersedia memikul amanah perjuangan Islam.
“Sebuah jemaah Islam perlu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, bukan tertumpu kepada kelompok akademik dan profesional sahaja.
“Sebagaimana para sahabat Rasulullah SAW, mereka datang dari pelbagai latar belakang – bijak, kaya, pengembala, petani dan hamba.
“Namun dihormati atas peranan dalam jemaah sebagai pemimpin, panglima, gabenor dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam konvensyen anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu.
Menurut beliau, semangat ketaatan (wala’) perlu disemai dalam jiwa anak muda sebagai tunjang kekuatan jemaah, selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.
“Sebagaimana kalam Saidina Umar al-Khattab, “Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan”.
“Namun ketaatan itu bukan membuta tuli, tetapi berlandaskan syariat dan amanah. Dalam budaya kita pula, pepatah ‘biar mati anak jangan mati adat’ perlu difahami sebagai adat yang dipandu oleh syariat,” ujarnya.
Shehdi turut menekankan bahawa anggota JAM sering menjadi teladan dalam aspek disiplin dan wala’, dengan slogan yang cukup sinonim, ‘Beramal kerana Allah’, ‘Tak bangga dek puji, tak jatuh dek keji’ dan ‘Hadir kami tidak didendang, balik kami tidak dijulang’. – HARAKAHDAILY 1/8/2025











