
KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga digesa agar lebih cakna serta mengambil berat terhadap kesihatan mental anak-anak yang semakin membimbangkan ketika ini, seru Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu berkata, golongan belia kini berdepan tekanan hidup yang pelbagai, seperti didedahkan menerusi laporan terkini Persidangan Antarabangsa Sarawak mengenai Kesihatan Mental Belia 2025.
“Tekanan akademik, ketidaktentuan ekonomi, keterikatan dengan teknologi digital, serta keretakan institusi kekeluargaan menjadi antara punca utama remaja hari ini tertekan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari bahawa anak-anak mereka sedang bergelut secara senyap tanpa berani meluahkan perasaan sebenar.
“Laporan menunjukkan seorang daripada lima remaja sedang menghadapi masalah kesihatan mental. Ini angka yang sangat membimbangkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar ibu bapa menjadi pendengar pertama dan pembimbing utama kepada anak-anak dengan mewujudkan ruang selamat dan penuh kasih sayang dalam rumah tangga.
“Jika kita mahu melahirkan generasi pemimpin masa depan, ia bermula dari rumah. Kita kena mula dengan mendengar dan memahami anak-anak,” katanya.
Ustazah Nuridah turut menegaskan isu kesihatan mental bukan hanya berlaku di kawasan bandar, malah lebih memberi kesan di luar bandar dan kawasan terpinggir yang kurang akses kepada perkhidmatan sokongan.
“Jangan biarkan mereka mencari pengganti ibu di luar sana yang belum tentu membawa mereka ke jalan yang benar. Kitalah tempat pulangnya hati mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan kelembutan, kasih sayang dan doa selaras ajaran Rasulullah SAW. – HARAKAHDAILY 1/8/2025











