Bertindak atau lebih ramai akan jadi mangsa senyap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendesak agar siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil segera susulan kematian tragis adik Zara Qairina Mahathir yang dilaporkan terjatuh di asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar, Sabah baru-baru ini.

- Advertisement -

Presiden GAMIS, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, pihaknya mengecam tindakan beberapa pihak, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang didakwa menghalang sekolah daripada menyalurkan maklumat kepada keluarga mangsa serta orang awam.

“Tidak ada sepatah pun kenyataan rasmi dikeluarkan pihak sekolah. Lebih mengejutkan, beberapa pelajar dibenarkan pulang dan berpindah sekolah walaupun kes ini masih dalam siasatan.

“Di mana letaknya maruah sekolah?” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, GAMIS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disifatkan sebagai ‘perosak’ dalam institusi pendidikan, sambil menyatakan bahawa kekeliruan serta sikap membisu pihak sekolah hanya menambah keresahan masyarakat.

Sehubungan itu, GAMIS menggariskan beberapa tuntutan penting demi memastikan keadilan ditegakkan dan reformasi pendidikan dilaksanakan.

Antaranya, siasatan telus dan bebas dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanpa sebarang gangguan atau campur tangan pihak berkepentingan, tindakan serta-merta terhadap pelajar yang terbukti terlibat.

Termasuk gesanya, penggantungan atau buang sekolah sekiranya terlibat dalam insiden buli atau pembunuhan, dan larangan meninggalkan sekolah ke atas pelajar yang dikaitkan dengan kes, sepanjang siasatan dijalankan.

Selain itu, GAMIS turut mengharapkan peningkatan keselamatan sekolah berasrama diwujudkan dengan pemasangan sistem CCTV di kawasan strategik dan pemantauan berkala oleh pihak berkuasa.

“Permohonan maaf terbuka oleh pihak sekolah serta penjelasan terperinci berhubung insiden yang berlaku.Ini bukan soal politik, tetapi soal maruah keluarga mangsa dan kredibiliti institusi pendidikan. Sekolah perlu berani bercakap benar tanpa takut kepada tekanan pihak atasan,” katanya.

Mohammad Azamuddin turut memberi amaran bahawa kegagalan bertindak hanya akan membuka jalan kepada lebih ramai pelajar menjadi mangsa budaya takut, sikap berdiam diri dan pengabaian tanggungjawab.

“Takut kerana benar bukan budaya kita. Jika kita tidak bertindak sekarang, lebih ramai anak akan menjadi mangsa senyap kepada sistem yang gagal,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -