
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyifatkan tindakan Sisters in Islam (SIS) menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada namanya sebagai langkah tidak jujur apabila masih kekal memperjuangkan fahaman liberal dan feminisme bertentangan Islam.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Firdaus Mohamed Nawi berkata, tindakan tersebut dilihat seolah-olah mahu menutup penyelewengan dengan berselindung di sebalik penghormatan terhadap titah Sultan Selangor.
“Tindakan ini ibarat bermain wayang zahirnya tunduk kepada nasihat, tetapi hakikatnya masih teguh mempertahankan fahaman yang telah difatwakan sesat oleh pihak berautoriti agama.
“Isunya bukan semata-mata nama, tetapi perjuangan mereka yang terus menyesatkan dan membuka ruang kecelaruan dalam agama. Ini amat mengecewakan, apatah lagi apabila ia didalangi oleh umat Islam sendiri,” katanya.
Beliau berkata, SIS tidak seharusnya terus mempromosi fahaman pluralisme dan liberalisme agama yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Katanya, walaupun SIS membuang perkataan ‘Islam’, tetapi tetap berdiri atas prinsip sama, maka mereka masih terikat dengan kesesatan yang ditolak oleh Islam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Islam tidak pernah mendiskriminasi gender, malah sentiasa mengangkat martabat wanita secara adil dan mulia berdasarkan lunas syarak.
“Feminisme yang dipromosi SIS adalah agenda luar yang menyimpang daripada acuan Islam. Sedangkan Islam sendiri telah lama menyelesaikan soal keadilan gender tanpa menjejaskan fitrah dan batas syariah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan sendiri telah menunjukkan contoh pengiktirafan terhadap wanita melalui penubuhan portfolio wanita yang dipimpin oleh wanita.
Kelantan juga katanya, mengadakan sambutan Hari Saidatina Khadijah sebagai simbol penghargaan terhadap peranan wanita dalam pembangunan negeri.
Justeru itu, beliau menyeru agar SIS kembali kepada ajaran sebenar Islam, bukan sekadar membuang nama, tetapi menghentikan sama sekali perjuangan yang menyeleweng.
“Perjuangan ini hanyalah sia-sia jika masih terikat dengan stigma lama yang telah diselesaikan oleh al-Quran. Kembalilah ke pangkal jalan, itu lebih utama,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2025











