Pasukan Kenyir Rangers dijenama semula

Perkukuh kawalan alam sekitar Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menjenamakan semula pasukan Kenyir Rangers bagi memperkukuh kawalan serta perlindungan alam sekitar khususnya di kawasan Tasik Kenyir yang telah diwartakan sebagai geopark pertama di negeri ini.

- Advertisement -

Datuk Razali Idris berkata, langkah ini penting berikutan ancaman serius terhadap sumber asli termasuk kegiatan mencuri spesies pokok untuk menghasilkan gaharu yang dipercayai melibatkan kartel dari luar negara.

“Kita difahamkan ada kemasukan secara haram ke kawasan hutan, melibatkan pihak luar yang mensasarkan pokok tertentu untuk menghasilkan gaharu. Kegiatan ini turut didalangi oleh rangkaian kartel tempatan dan antarabangsa.

“Saya memberi sokongan penuh kepada pihak penguat kuasa untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh ini agar sumber semula jadi kita tidak pupus akibat kerakusan manusia,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri berkata, selain flora, fauna seperti harimau dan gajah turut terancam sekiranya hutan tidak dipelihara secara berterusan.

“Ketika ini dianggarkan hanya tinggal sekitar 30 hingga 35 ekor harimau dan antara 300 hingga 350 ekor gajah di Terengganu.

“Jika tiada pemantauan rapi oleh renjer kebarangkalian dibunuh, ditangkap untuk dijual secara haram kerana permintaan terhadap kulit dan organ haiwan agak tinggi,” katanya.

Mengulas aspek keselamatan anggota renjer, Razali berkata, anggota renjer tidak dibenarkan melakukan rondaan bersendirian dan hanya dilengkapi senjata semasa menyertai operasi bersepadu bersama agensi lain.

“Renjer perlu bergerak secara berkumpulan. Kalau operasi bersepadu seperti Khazanah barulah mereka dilengkapi senjata melalui bantuan agensi seperti Perhilitan dan Jabatan Perhutanan.

“Risiko tetap ada kerana ada penceroboh lengkap dengan peralatan komunikasi dan mereka mungkin lebih canggih. Sebab itu kita tidak dedahkan lokasi kem renjer untuk elak strategi bocor,” katanya.

Razali mengesahkan bahawa kegiatan pencerobohan dianggap serius selepas beliau sendiri meninjau lokasi berkenaan dan menemui tanda yang menunjukkan kawasan sudah diteroka lebih awal.

“Kita telah membuat tiga tangkapan melibatkan warga asing. Kita percaya orang tempatan turut terlibat, tapi belum ditahan lagi. Mereka ini ada akses kepada sistem komunikasi dan dibekalkan makanan ketika berada lama di dalam hutan.

“Memang ada siasatan sedang dijalankan, dan insya-Allah kita akan dapat tangkap,” katanya.

Penubuhan Young Rangers

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Young Rangers sejak 2024 sebagai usaha membina kesedaran dalam kalangan generasi muda terhadap kepentingan pemuliharaan alam semula jadi.

“Seramai 150 pelajar sekolah rendah dan menengah telah menyertai program ini. Latihan mereka dijalankan di lokasi seperti Setiu Wetlands yang mempunyai lebih 10 jenis ekosistem, termasuk hutan dan paya bakau,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 31/7/2025

- Advertisement -