
KUALA TERENGGANU: Kolam air panas yang baharu ditemui di kawasan Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman bakal dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu di Terengganu, kata Datuk Razali Idris.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri berkata, kawasan yang dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring itu berpotensi besar menarik kehadiran pelancong kerana memiliki lebih 10 mata air panas semula jadi.
Menurutnya, lokasi kolam air panas itu terletak lebih 20 kilometer dari jalan raya utama dan berada dalam kawasan ladang sawit, menjadikannya lokasi eksotik yang sesuai untuk aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Saya difahamkan tanah ini milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan kita sedang menyiasat siapakah pemegang taruh sebenar. Pejabat Tanah sedang membantu kita mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita sudah berbincang dengan Pejabat Daerah dan majlis tempatan untuk merangka pelan kasar pembangunan kawasan ini, termasuk membina kolam air panas yang diasingkan mengikut jantina,” katanya ketika pada sidang media selepas Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Razali berkata, suhu air di kawasan itu hampir menyamai suhu kolam air panas terkenal di La Hot Spring, Hulu Terengganu, namun kelebihan Cek Mek Hot Spring ialah jumlah mata airnya yang lebih banyak.
Beliau berkata, meskipun hanya kenderaan pacuan empat roda (4×4) boleh melalui laluan ke lokasi itu, ia dianggap sebagai kelebihan yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
“Laluan ke lokasi itu agak mencabar dan hanya kenderaan pacuan empat roda (4×4) boleh masuk, tetapi kita mahu kekalkan jalan ‘off-road’ ini kerana ia juga mampu menjadi punca pendapatan orang Kampung dekat situ,” katanya.
Jelas beliau, penamaan lokasi itu sebagai Cek Mek Hot Spring diambil sempena nama Sungai Cek Mek yang mengalir berdekatan kawasan kolam tersebut.
“Saya sendiri sudah dua kali melawat kawasan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











