Sasar 200 peluang kerja, 80 peratus anak tempatan

Projek perlombongan Terengganu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan penyediaan sehingga 200 peluang pekerjaan menerusi pelaksanaan projek perlombongan hasil perjanjian pajakan antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Gemilang Mining Sdn Bhd.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekurang-kurangnya 80 peratus daripada tenaga kerja projek itu akan melibatkan penduduk tempatan, khususnya dalam sektor pekerjaan mahir.

“Secara keseluruhannya, projek ini dijangka mampu untuk menjana manfaat ekonomi yang menyeluruh untuk penduduk setempat iaitu dari pelbagai aspek seperti vendor, makanan dan minuman, pembekal hasil segar serta penjual perkakasan, bahan binaan tempatan dan seluruh operasi syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis menandatangani perjanjian tersebut, yang berlangsung di Sheraton Imperial Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman serta wakil pengurusan kanan syarikat.

Menurut beliau, pembinaan kuarters kediaman dan kemudahan kantin bagi kakitangan turut dirancang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur tempatan.

Beliau berkata, semua aspek pelaksanaan projek akan mematuhi sepenuhnya perundangan berkaitan termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), pemuliharaan ekosistem dan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap kerjasama ini akan berjaya dan mendatangkan hasil yang selayaknya kepada negeri Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025

- Advertisement -