
KANGAR: Sempena sambutan Hari Pahlawan 2025, satu program Ziarah Kasih telah diadakan bagi menyantuni para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang uzur dan terlantar sakit di sekitar negeri ini.
Program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Veteran ATM Negeri Perlis itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan Negeri Perlis, Datin Marzita Mansor.
Kunjungan beliau diadakan bersama Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Negeri Perlis, Azemi Zakaria serta barisan ahli jawatankuasanya yang menziarahi empat rumah veteran dalam program tersebut.
Mereka ialah Hassan Mohd Noh dari Kampung Dato’ Kayaman, Ismail Jusoh dari Bukit Keteri, Azizan Itam dari Beseri dan Dan@Zain Salleh dari Kampung Sena Dalam, Padang Besar.
Menurut Datin Marzita, ziarah seumpama ini bukan sekadar untuk bertanya khabar, tetapi turut menjadi medan bagi menilai keperluan kebajikan para veteran yang mungkin memerlukan bantuan lanjut daripada pihak kerajaan negeri atau agensi berkaitan.
“Jika ada dalam kalangan mereka yang masih belum menerima bantuan sewajarnya, insya-Allah saya akan cuba usahakan agar hak mereka tidak terpinggir,” coretnya di Facebook rasmi beliau.
Datin Marzita turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan besar para veteran dan keluarga mereka yang telah menabur bakti kepada keselamatan dan kedaulatan tanah air.
“Pengorbanan mereka amat besar ertinya kepada negara. Kunjungan seperti ini diharap dapat menjadi bukti bahawa jasa mereka tetap dikenang dan dihargai,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena,
Dalam program ziarah tersebut, sedikit sumbangan disampaikan sebagai tanda ingatan dan sokongan moral kepada para penerima.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati dan menghargai jasa anggota keselamatan negara yang telah berjuang demi tanah air, di mana jasa dan bakti mereka dalam mempertahankan keselamatan negara tidak ternilai.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Kebajikan sentiasa cakna terhadap isu-isu kebajikan dan pelbagai program seumpama ini telah dijalankan agar rakyat yang memerlukan tidak terus tersisih. – HARAKAHDAILY 1/8/2025





















