RM62.2 j diperuntuk bagi program kebajikan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kepedulian sosial terhadap rakyat telah lama menjadi amalan kerajaan negeri menerusi pelbagai inisiatif kebajikan sejak mentadbir negeri ini bermula tahun 1990.

- Advertisement -

Pelbagai program kebajikan diperkenalkan dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat seperti anak yatim, warga emas, golongan armalah, asnaf, bantuan pengajian, sumbangan perkahwinan untuk anak muda dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan dan penglibatan orang ramai untuk turut sama membantu golongan kurang bernasib baik.

Speaker Dewan Negeri, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, seorang pempengaruh tempatan dilihat aktif menyantuni masyarakat tanpa menyentuh atau mengkritik mana-mana pihak, sebaliknya menghulurkan bantuan dengan dana sendiri.

“Sikap sebegini amat wajar dipuji kerana setiap pihak mempunyai tanggungjawab bersama dalam menyantuni mereka yang memerlukan.

“Pimpinan kerajaan negeri, anak-anak syarikat kerajaan dan para penghulu telah memainkan peranan masing-masing, maka anggota masyarakat juga digalakkan turut sama berganding bahu dalam usaha kebajikan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung di Dataran Masjid Muhammadi, di sini.

Menurut beliau, konsep kebajikan dalam Islam bermula daripada keimanan yang kukuh kepada Allah dan diterjemahkan melalui amalan memberi dan membantu sesama manusia.

“Inilah konsep cakna yang sebenar, membantu golongan asnaf, saudara-mara dan mereka yang memerlukan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.

Beliau turut menegaskan bahawa Hari Kebajikan bukan bertujuan untuk bermegah, tetapi mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab sosial.

“Tanggungjawab menjaga kebajikan bukan hanya di bahu kerajaan, tetapi melibatkan semua individu, pertubuhan dan masyarakat secara keseluruhan.

“Semoga program ini dapat menyemai kesedaran sosial yang berterusan. Insya-Allah, Kelantan akan terus dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM62.2 juta menerusi Bajet 2025.

Katanya, dasar kebajikan di Kelantan terus dilaksanakan berteraskan pendekatan “Membangun Bersama Islam” bagi pelaksanaan pelbagai program menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Hasrat untuk menjadi negeri berkebajikan direalisasikan dengan dasar kebajikan dan kesejahteraan rakyat 2025 sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, lebih 30 jenis insentif dan bantuan kebajikan disalurkan melalui pelbagai platform bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar.

“Program-program kebajikan disalurkan melalui jaringan penggerak di setiap Dewan Undangan Negeri seperti Pejabat Tanah dan Jajahan, Pihak Berkuasa Tempatan, masjid, Pusat Khidmat DUN, penggawa, penghulu serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan,” jelasnya.

“Salah satu program yang mendapat sambutan rakyat ialah ‘Skuad Kito Cakno’ yang menyasarkan seramai 450 penerima di seluruh negeri. Ia dikendalikan oleh skuad bersama wakil rakyat tempatan.

“Selain itu, seramai 49,088 armalah di seluruh Kelantan telah berdaftar dan menerima bantuan sekali beri daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban hidup mereka,” tambahnya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada enam aktivis kebajikan mengikut kategori iaitu cakna Orang Kelainan Upaya, armalah, anak yatim, warga emas, asnaf miskin dan NGO.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Nor Asilah Mohamed Zin serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Juga Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Muhammad dan Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Ilvira Mohd Dasuki serta Imam Tua Masjid Muhammadi, Hairul Azizi Mokhtar. – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -