
GEORGE TOWN: Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang menyifatkan Kerajaan Madani hanya menabur janji manis dan mempersembahkan propaganda moral menjijikkan, sedangkan realitinya penuh dengan kepincangan dan skandal yang disorok ke bawah karpet kuasa.
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, rakyat hari ini semakin muak dan mual dengan lakonan perang lawan rasuah yang dimainkan kerajaan, kononnya atas nama integriti dan ketelusan.
“Rakyat tak bodoh. Rakyat dah celik. Poster ceria dan slogan manis tak mampu sembunyi bau busuk korupsi Madani yang makin kuat. Mereka kata reformasi, tapi apa yang rakyat dapat hanyalah reform ke belakang, bukan ke depan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Anas turut membangkitkan senarai panjang kes berprofil tinggi yang didakwa terhenti tanpa tindakan tegas dengan mempersoalkan ke mana perginya kes-kes besar tersebut.
Antaranya isu-isu Kapal Tempur Persisir (LCS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pembantu Teresa Kok, pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, serta kes saham RM40 juta yang didakwa membabitkan individu rapat dengan pimpinan tertinggi kerajaan.
Beliau turut menyentuh kes lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dikaitkan rasuah projek mineral dan isu audio antara Farhash Wafa Salvador serta Datuk Seri Hajiji Noor, serta budaya perolehan secara rundingan terus yang kembali berleluasa di bawah pentadbiran Madani.
Tambah Anas, suasana negara semakin parah apabila beban hidup rakyat kian menekan dengan pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas, tarif air dan elektrik naik, selaim subsidi dikatakan bersasar tetapi sebenarnya tersasar.
“Pada masa yang sama Kerajaan Madani terus bermewah-mewah dengan pelbagai projek dan perbelanjaan tidak berhemah. Rakyat disuruh ikat perut, tapi mereka main silap mata. Tak cukup dengan itu, skandal demi skandal hanya dibakul sampahkan.
“Madani ini jelas pertahan kroni, yang disalahkan pembangkang, dan yang terus diperbodoh adalah rakyat,” ujarnya turut menyelar budaya nepotisme semakin menular dengan pelantikan anak, menantu dan kroni ke jawatan-jawatan utama, memperlihatkan Madani hanyalah kesinambungan budaya kleptokrasi versi baharu.
Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang melihat bahawa Kerajaan Madani bukanlah pembela rakyat seperti pernah diuar-uarkan, sebaliknya mewarisi gaya pemerintahan bobrok yang hanya mementingkan kelompok elit dan politik suku sakat.
“Rakyat hari ini perlu bangkit. Jangan biar topeng moral palsu bernama ‘Madani’ ini terus menipu dan menindas rakyat. Cukuplah. Madani bukan solusi. Madani adalah ilusi,” tegas beliau.
Anas turut menggesa seluruh rakyat Malaysia agar tidak terus tertipu dengan lakonan politik Madani dan menjadikan Pilihan Raya Negeri serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai medan perubahan sebenar.
“Kita perlu tolak geng Kleptokrasi dan Kakistokrasi Madani ini. Rakyat perlu buka mata. Kitalah harapan masa depan negara ini. Jangan biarkan negara ini terus dijadikan boneka oleh mereka yang rakus dan tidak bermaruah,” katanya lagi.
Beliau dalam kenyataannya itu juga mengajak rakyat untuk menilai semula keikhlasan kerajaan hari ini yang seringkali menjadikan isu rasuah sebagai senjata politik semata-mata.
“Kalau sungguh-sungguh nak lawan rasuah, kenapa kes orang sendiri didiamkan? Kalau betul telus, mana tindakan terhadap skandal yang melibatkan pimpinan kerajaan dan orang-orang terdekat mereka?” soal Anas.
Beliau menyatakan bahawa ketelusan tidak datang daripada poster, slogan atau video kempen bersih semata-mata, tetapi ia terbukti melalui tindakan yang tegas, adil dan tanpa memilih bulu.
“Cukuplah rakyat ditipu dengan persembahan moral palsu. Cukuplah rakyat dibohongi atas nama reformasi. Yang kita mahu ialah keadilan, integriti sebenar, dan kejujuran memerintah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/8/2025











