
KOTA BHARU: Kemahiran dalam bidang kreatif multimedia yang dipelajari ketika di Institut Pengajian Tinggi Awam dimanfaatkan dua beradik apabila video pendek mereka bertemakan kebajikan kerajaan negeri berjaya merangkul tempat pertama.
Kemenangan itu membolehkan Mohamad Hafizi Mohd, 31, lepasan Ijazah Multimedia dari Universiti Utara Malaysia dan Mohamad Firdaus Mohd, 24, lepasan Diploma Multimedia dan Pengiklanan dari Kolej Komuniti Kok Lanas menerima hadiah RM3,000 serta sijil penghargaan.
Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWA) sempena Karnival Kelantanku Cakna 2025.
Berbekalkan minat dan pengetahuan dalam penghasilan video, mereka mengambil peluang menyertai pertandingan mencipta video pendek yang diadakan.
Kisah dalam video tersebut memaparkan dua orang sahabat yang sedang menyelidik dan mencari maklumat berkaitan program kebajikan yang dilaksanakan Kerajaan Kelantan sejak tahun 1990.
Hasil pencarian itu membongkar pelbagai inisiatif kebajikan untuk segenap lapisan rakyat termasuk anak muda, wanita, warga emas, orang kurang upaya, asnaf dan armalah.
Menurut Mohamad Hafizi, idea menghasilkan video itu timbul apabila beliau menyedari masih ramai rakyat Kelantan sendiri tidak mengetahui secara menyeluruh bentuk bantuan dan kebajikan yang disediakan kerajaan negeri.
“Sebab itu kami olah kisah dua sahabat yang kononnya dalam misi mencari maklumat tentang program kebajikan kerajaan negeri. Kami jadikan bentuk dokumentari olok-olok, tetapi kandungannya sebenar dan berdasarkan kajian kami sendiri,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Firdaus berkata mereka mengambil masa seminggu untuk menyiapkan video tersebut termasuk proses perbincangan jalan cerita, skrip, dialog dan penggambaran.
Katanya, gaya video yang mereka hasilkan adalah berbentuk informatif seakan dokumentari, bertujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan cara santai dan kreatif.
“Pertandingan ini kami tahu melalui hebahan di _Facebook_ Urusetia Wanita kira-kira sebulan lepas, dan sejak itu kami mula merancang bersama-sama,” jelasnya.
Dua beradik itu turut berkongsi kandungan bermaklumat menerusi platform _TikTok_ mereka, Auziy Talk.
Mereka berhasrat untuk mencipta beberapa siri video bermaklumat lagi pada masa akan datang termasuk berkaitan agenda kebersihan yang diperjuangkan kerajaan negeri untuk memupuk amalan menjaga persekitaran dalam kalangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 1/8/2025











