Perlis GSA FC sedia mengaum di Liga A1 Semi-Pro

Tampil dengan jersi baharu

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pasukan bola sepak Perlis GSA FC bakal memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 dengan penampilan penuh bergaya apabila turun dengan jersi baharu menentang Kedah FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar malam esok.

- Advertisement -

Majlis Pelancaran Jersi Rasmi dan Penaja Perlis GSA FC berlangsung meriah di Terinai, Timah Tasoh, di sini semalam.

Ia diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang turut menyempurnakan pelancaran serta menyampaikan amanat semangat kepada seluruh skuad.

Dalam ucapannya, Mohd Shukri menyatakan keyakinan bahawa pasukan yang dibarisi sepenuhnya oleh anak tempatan itu mampu mencipta kejutan serta mengangkat kembali martabat bola sepak negeri Perlis.

Perlis GSA FC merupakan satu-satunya wakil negeri Perlis dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini, setelah muncul juara Liga A2 Amateur pada musim lalu.

Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, pasukan itu kini menggalas harapan besar seluruh rakyat negeri agar ‘ngauman Singa Utara’ kembali bergema di persada bola sepak tanah air.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasakan sukan bola sepak. Kami menyeru seluruh peminat sukan negeri agar hadir memberikan sokongan penuh kepada pasukan pada malam esok.

“Jom sama-sama turun ke stadium dan berikan semangat kepada generasi baharu Singa Utara,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, tiket masuk berharga RM10 dijual di kaunter tiket bermula pukul 3 hingga 7 petang hari ini dan 10 pagi pada hari Sabtu di Stadium Tuanku Syed Putra.

“Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” ujar beliau.

Izizam yang juga EXCO Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi turut hadir ke majlis tersebut bersama-sama, EXCO Belia dan Sukan Negeri, Ridzuan Hashim dan barisan EXCO Kerajaan Negeri serta ADUN beberapa kawasan yang lain.

Juga bersama di dalam majlis tersebut para penaja Perlis GSA FC. – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -