
PRESIDEN Amerika Syarikat awal pagi tadi mengumumkan bahawa Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 19 peratus. Pada 2 April 2025, Amerika Syarikat mengumumkan bahawa Malaysia dikenakan tarif 24 peratus. Selepas rundingan dibuat di antara Kerajaan Malaysia dengan Amerika Syarikat, kadar tarif telah dinaikkan kepada 25 peratus pada 8 Julai 2025. Rundingan lanjut diteruskan selepas tarikh tersebut dan hasilnya adalah penurunan tarif sebanyak 6 peratus, daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Kerajaan perlu memberi penjelasan segera kepada rakyat, apakah dasar-dasar Kerajaan yang telah dijadikan konsesi atau dikorbankan sewaktu rundingan untuk mendapatkan penurunan tarif sebanyak 6 peratus tersebut.
Laporan akhbar The Straits Times semalam melaporkan bahawa Malaysia telah bersetuju untuk mengiktiraf pensijilan halal daripada Amerika Syarikat dan membekalkan nadir bumi kepada negara itu sebagai sebahagian daripada konsesi dalam rundingan tersebut. Setakat ini Kerajaan tidak menafikan laporan tersebut.
Berkaitan dengan pensijilan halal, Kerajaan sebelum ini menggambarkan bahawa isu pensijilan halal diletakkan sebagai garis sempadan yang tidak boleh dilanggar atau redline dalam rundingan dengan Amerika Syarikat. Apakah garis sempadan ini telah dilanggar?
Sekiranya ya, apakah protokol pensijilan halal yang berbeza yang akan digunakan untuk Amerika Syarikat berbanding dengan negara lain? Apakah kesan tindakan ini kepada kredibiliti pensijilan halal JAKIM dan penglibatan Malaysia sebagai antara peneraju industri halal global?
Berkaitan dengan eksport unsur nadir bumi (REE) ke Amerika Syarikat, apakah terma sebenar persetujuan ini? Berapa peratuskah daripada hasil REE Malaysia yang perlu dieksport ke Amerika Syarikat? Memandangkan bidang kuasa berkaitan mineral adalah dibawah kerajaan negeri, adakah Kerajaan Persekutuan telah berbincang dan mendapat maklum balas atau persetujuan kerajaan negeri?
Selain daripada yang konsesi yang dilaporkan oleh akhbar Straits Times, apakah terdapat dasar-dasar lain yang turut dikorbankan sewaktu rundingan?
Oleh itu, adalah amat penting untuk Kerajaan memberikan penjelasan segera tentang perkara-perkara yang telah dijadikan konsesi dalam rundingan dengan Amerika Syarikat.
DATUK DR MOHD RADZI MD JIDIN
Ahli Parlimen Putrajaya
1 Ogos 2025 – HARAKAHDAILY 1/8/2025











