Andalusia terima anugerah The BrandLaureate

Ida Riswana (empat dari kiri), Ibrahim dan Daud Che Ngah bersama sebilangan warga Andalusia Travel menunjukkan anugerah berprestij antarabangsa yang diterima sempena The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition Best Brands Awards 2025 yang berlangsung di Singapura.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. terus mencipta kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai penerima dua anugerah berprestij antarabangsa sempena The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition Best Brands Awards 2025 yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Anugerah yang diterima adalah bagi dua kategori utama iaitu Excellence in International Umrah Travel & Tour di bawah BestBrand Award 2025, serta The Brand Leadership Award 2025 – Industry Icon yang diberikan kepada Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel, Hajah Ida Riswana Idris.

- Advertisement -

Kejayaan ini sekali gus memperkukuh kedudukan Andalusia sebagai peneraju dalam industri pelancongan Islam serantau, setelah berjaya menyantuni hampir sejuta jemaah sepanjang 23 tahun beroperasi dalam sektor Umrah dan pelancongan Muslim.

Anugerah yang diterima menjadi bukti kukuh terhadap komitmen Andalusia dalam menyediakan perkhidmatan yang dipercayai, profesional dan berintegriti tinggi, selaras dengan misi syarikat untuk menawarkan pengalaman ibadah yang berkualiti dan memberi kesan spiritual kepada para jemaah.

“Kami amat bersyukur dan berbesar hati atas pengiktirafan ini. Ia menjadi peringatan bahawa apabila kita memimpin dengan niat, nilai, dan visi yang jelas, jenama tempatan juga mampu mengangkat nilai Islam serta nama negara di peringkat antarabangsa,” kata Ida Riswana.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Andalusia, para rakan kerjasama dan semua jemaah yang pernah bersama dalam perjalanan panjang Andalusia sejak penubuhannya pada tahun 2002.

“Anugerah ini milik semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami. Ia membakar semangat untuk kami terus berkembang, bukan sekadar dari segi capaian operasi, tetapi juga dari segi tanggungjawab kepada ummah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ida Riswana menegaskan bahawa Andalusia akan terus memacu pembangunan industri pelancongan Islam dengan memberi tumpuan kepada inovasi, integrasi digital dan pengukuhan jenama di peringkat global, sambil tetap berpegang teguh kepada prinsip syariah dan nilai-nilai Islam dalam setiap perkhidmatan yang ditawarkan.

Sehingga kini, Andalusia Travel mempunyai lebih 60 cawangan di seluruh negara dan telah membina rangkaian perkhidmatan menyeluruh melibatkan perancangan ibadah, bimbingan keagamaan, logistik, penginapan serta pengurusan jemaah yang tersusun. Kekuatan Andalusia juga terletak pada pengalaman panjang serta struktur operasi yang mantap, menjadikan syarikat ini antara yang paling dipercayai dalam industri pelancongan Muslim di Malaysia.

Dengan pengiktirafan antarabangsa yang diterima ini, Andalusia kini meletakkan sasaran lebih jauh untuk memperluas legasi dakwah dan khidmat melalui pelancongan Islam yang bukan sahaja efisien dari sudut pengurusan, malah memberi nilai tambah rohani kepada setiap jemaah yang memilih mereka sebagai pengendali ibadah suci ke Tanah Haram.

“Sebagai syarikat yang lahir dari bumi Malaysia, Andalusia tidak pernah lupa akar perjuangannya iaitu membantu lebih ramai umat Islam menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan selamat, berilmu dan penuh keberkatan,” katanya lagi.

Pengiktirafan yang diterima kali ini selaras dengan tema BrandLaureate, “Honouring Our Past, Celebrating Our Present, Inspiring Our Future”, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha Andalusia untuk terus memimpin pelancongan Muslim ke arah yang lebih baik lagi di masa akan datang. – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -