Himpunan Relawan LESTARI 2025, Kenyir Terengganu

Mengukuh iltizam, menyimpul ukhuwah semahal tempayan emas!

- Advertisement -

GURATAN wajah ceria bersulam senyum tawa mengisi himpunan selama dua hari para aktivis dan relawan LESTARI Malaysia yang berhimpun di Tasik Kenyir minggu ini. Relawan datang sejauh Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain Terengganu dan Kelantan. Program yang dirancang untuk membina ukhuwah, merapatkan jurang kepimpinan dan aktivis-aktivis pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bernuansa kebajikan ini. Tasik Kenyir yang biasa memancing pesona wisatawan dalam dan luar negara juga telah meninggalkan banyak kenangan manis kepada peserta-peserta himpunan LESTARI.

- Advertisement -

Himpunan tahunan relawan LESTARI juga merencanakan program-program untuk tahun ini, juga mengemas kini hasil pemukiman LESTARI yang dilaksanakan tahun lepas. Program menziarahi anak-anak seni, budayawan, ilmuan, himpunan anak-anak seni, sanggar budaya, jaulah budaya dan wacana lestari antara yang dirancang termasuk kem penulis. Ruang kerja untuk LESTARI yang luas mencangkupi lahan seni dan budaya pastilah memerlukan ramai tenaga sukarelawan untuk bergerak ke seluruh negara.

Relawan LESTARI yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan sosial, juga mengukuhkan tautan ukhuwah mereka dengan mengadakan himpunan di Tasik Kenyir. Himpunan ini bukan sekadar acara bermandi manda dan melepaskan penat, namun juga dengan acara pengisian oleh Dr Fadli Ghani, seorang pengkaji sosio budaya yang terkenal. Sosok pengkaji sejarah dan aktivis dakwah ini mengingatkan relawan agar istiqamah dalam kerja dakwah dan kebajikan. Antara formula untuk istiqamah ialah menjaga solat yang sempurna, membaca al-Quran, bersedekah dan melazimi qiamullail.

Fadli mengingatkan peserta tentang elemen kesenian dan kebudayaan adalah ruang pendakwahan. Juga seperti pengalaman kebangkitan umat Melayu Selatan Thai yang memanfaatkan ruang seni dan budaya Melayu Pattani sebagai pemangkin kebangkitan. LESTARI wajar meluaskan aktiviti seperti pameran busana, alat senjata lama, pameran manuskrip lama Melayu Islam dan pemerkasaan tulisan Jawi sebagai sejarah medium ilmu bangsa Melayu zaman dahulu. Kesenian jangan dihadkan kepada muzik dan nyanyian, kerana takrif seni itu sangat kompleks.

Dalam sesi sumbang saran relawan, antara usaha untuk menerobos pelbagai golongan masyarakat dalam negara ini adalah seperti himpunan pesilat, himpunan berbusana Melayu klasik, pameran fotografi, bengkel kaligrafi, wacana tokoh ilmu dan perjuangan seperti wacana Dr Burhanuddin al-Helmy, wacana Tok Sheikh Pulau Duyong, pertandingan wau dan jelajah bulan kemerdekaan.

Jelajah kemerdekaan wajar untuk relawan dan penggerak LESTARI turun ke seluruh negara bagi menyemai semangat patriotisme dan memberikan penerangan kepada rakyat tentang sejarah kemerdekaan tulin yang sengaja dibengkokkan. Jelajah kemerdekaan wajar menjadi wahana menebar kepedulian akan isu-isu negara, menziarahi tempat bersejarah, makam para pejuang serta menerbitkan pelbagai penulisan berkaitan kemerdekaan tanah air.

Peserta-peserta himpunan LESTARI yang terdiri daripada pelbagai NGO kolaborasi juga mengadakan ta’aruf, latihan akuatik, BBQ santai, sesi sumbang saran, pengisian rohani serta lain-lain acara bagi mengikat ukhuwah.

Ada kalangan relawan yang pernah menabur bakti di Afghanistan, Cambodia, Filipina, Myanmar, Indonesia dan pelbagai peta luka umat. Menarik juga ialah relawan-relawan ini pernah terlibat dalam jaulah LESTARI di seluruh negara, termasuk program rentas budaya di kampung-kampung Orang Asli (KOA) serta kampung-kampung tradisi di pedalaman Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Terima kasih kepada seluruh relawan LESTARI serta rakyat Malaysia yang menyokong dan mendokong usaha kami selama ini dan yang akan datang. Terima kasih buat ketua juru masak kami yang selama dua hari menyediakan juadah yang lazat, Kak Ani Rambai, seorang usahawan pemurah dari Besut, Terengganu.

Semua insan berpotensi untuk menyumbang kepada ummah tanpa mengira latar belakang sosio ekonomi. Moga tanah watan ini dijauhi daripada kefasadan dan kemudaratan akibat ketidakpekaan kepada larangan yang Maha Esa.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) PAS Pusat – HARAKAHDAILY 1/8/2025

- Advertisement -