Tokoh wanita Kelantan diraikan sempena HSK 2025

Shamrahayu ketika menerima anugerah disampaikan Menteri Besar
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua tokoh wanita hebat Kelantan masing-masing dianugerahkan Anugerah Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid dan Anugerah Tokoh Al Khansa’ Amru tahun ini.

- Advertisement -

Anugerah tersebut diberikan kepada Profesor Madya Dato’ Dr Shamrahayu Abdul Aziz bagi kategori Sayyidatina Khadijah dan Adiguru Kraf Kelingkan, Nik Rahimah Nik Idris bagi kategori Al Khansa’ Amru.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud sempena Majlis Pelancaran Hari Sayyidatina Khadijah 2025 dan Program Kelantanku Cakna yang diadakan di Dataran Masjid Jamek Muhammadi, di sini.

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap tokoh ilmuwan wanita serta penggiat seni warisan negeri ini.

Shamrahayu dilahirkan pada 5 Jun 1968 di Kelantan dalam sebuah keluarga sederhana dan kini merupakan pensyarah dan penyelidik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau merupakan tokoh ilmuwan yang sering dijemput menyampaikan pandangan dalam pelbagai forum, seminar dan sidang media bagi membincangkan isu-isu syariah, Perlembagaan serta kedudukan Islam dalam negara.

“Beliau tidak pernah gentar menyatakan pandangan ilmiah, walaupun kadangkala tidak popular, khususnya dalam isu RUU 355,” menurut kenyataan penganjur.

Hingga tahun 2020, beliau telah menghasilkan lebih 500 penulisan dan membentangkan lebih 100 kertas kerja dalam dan luar negara.

Antara karya pentingnya termasuk buku Islam dalam Perlembagaan Persekutuan (2018), Isu-Isu dalam Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Islam (2016) dan Polemik dalam Pindaan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (2016).

Beliau juga menulis buku Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan Pengikat Jatidiri Bangsa Malaysia Merdeka serta menghasilkan kompilasi tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Kini, beliau berperanan sebagai Felo Utama di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), selain terus menyumbang secara aktif dalam pembangunan dasar awam dan pemikiran Islam di Malaysia.

“Beliau bukan sahaja seorang ibu dan pendidik, tetapi pejuang yang setia kepada agama dan bangsanya,” kata kenyataan itu lagi.

Majlis anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan (U-KeKWA) itu akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini, dan dihadiri lebih 2,000 orang. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -