
KOTA BHARU: Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) yang diadakan hari ini merupakan manifestasi penghargaan terhadap peranan besar wanita Kelantan dalam masyarakat, tanpa mengira kedudukan mereka sebagai ibu, isteri, anak mahupun srikandi negara.
Menteri Besar berkata, sambutan ini memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk menzahirkan jasa dan pengorbanan golongan wanita dalam membina institusi keluarga, membangunkan masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan negeri.
“Wanita merupakan insan hebat yang memainkan peranan penting dalam pelbagai lapangan kehidupan yang harus dihargai atas segala sumbangan yang telah diberikan,” ujar Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2025 yang berlangsung di Dataran Masjid Muhammadi, di sini.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Karnival Kelantanku Cakna 2025 sebagai platform mengetengahkan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Nassuruddin seterusnya berkata, kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan pentadbiran negeri di bawah dasar “Membangun Bersama Islam” (MBI) yang kini telah menjangkau usia 35 tahun.
“Kerajaan negeri tidak pernah menyisihkan rakyat, malah sentiasa cakna dan mengutamakan keperluan serta kehendak mereka.
“Karnival ini wajar dimanfaatkan untuk menampilkan segala usaha kebajikan kerajaan negeri dan membuktikan bahawa Kelantan sentiasa menjuarai isu rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya juga, beliau menekankan bahawa Islam telah lama mengangkat martabat wanita, jauh lebih awal daripada kemunculan gerakan pemikiran Barat yang memperjuangkan hak wanita atas nama kebebasan mutlak.
Menurut beliau, Islam telah membela wanita sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.
Syariat Islam memuliakan wanita yang pada zaman jahiliyyah dahulu dianggap hina, hingga ke tahap nasib mereka ditentukan oleh keluarga suami selepas kematian pasangan.
Islam membawa pembaharuan besar dengan memberikan hak, penghormatan dan kedudukan sewajarnya kepada wanita sebagai pelengkap kepada kaum lelaki.
“Gerakan hak wanita moden dari Barat yang kononnya memperjuangkan kebebasan wanita sebenarnya membawa agenda tersirat yang boleh memesongkan akidah umat Islam.
“Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi dan mulia. Mereka bukan lagi hamba seperti zaman jahiliyyah, tetapi insan istimewa yang memiliki hak serta tanggungjawab dalam masyarakat,” tegas beliau.
Pada majlis berkenaan, dua tokoh wanita hebat diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Sayyidatina Khadijah.
Nik Rahimah Nik Idris menerima Anugerah Tokoh Sayyidatina Khadijah Al-Khansa’ Amru, manakala Professor Madya Dato’ Dr Shamrahayu Abdul Aziz menerima Anugerah Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid.
Kedua-dua tokoh menerima satu dinar emas, sijil penghargaan, trofi, kerongsang HSK, telekung solat tajaan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA), al-Quran tajaan E-Nor.
Juga sumbangan produk kreatif daripada Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Pasir Pekan dan Jelawat, makanan sunnah serta sejambak bunga.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim dan Timbalannya, Nor Asilah Mohamed Zin serta Yang Dipertua PURNAMA, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob. – HARAKAHDAILY 30/7/2025











