Perlis bangga catat 89.3 peratus rakyat membaca

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian budaya membaca rakyat negeri ini yang mencatatkan 89.3 peratus, meletakkan Perlis mendahului beberapa negeri lain termasuk Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2025 yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis, di sini semalam.

“Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 telah dijalankan melibatkan pengumpulan data secara atas talian dan fizikal, kajian ini berjaya mengumpul sebanyak 100,848 maklum balas iaitu melebihi 0.84 peratus daripada kutipan data yang disasarkan.

“Perlis mencatatkan 89.3 peratus penduduk di negeri ini membaca, manakala sebaliknya ialah sebanyak 10.7 peratus.

“Dengan iltizam yang ditunjukkan oleh Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang tanpa jemu merangka dan melaksanakan program galakan membaca setiap bulan bakal merubah persepsi masyarakat tentang kepentingan perpustakaan selepas ini,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Program anjuran Perpustakaan Awam Negeri Perlis itu bakal berlangsung selama sembilan hari dan melibatkan pelbagai pengisian menarik yang bersifat ilmiah dan merakyat.

Menurut Mohd Shukri, penekanan terhadap pembudayaan amalan membaca perlu diterapkan sejak di peringkat awal usia sebagai persediaan menghadapi cabaran kehidupan yang semakin kompleks dan sarat dengan persaingan.

Amalan membaca bukan sahaja memperkasa daya fikir, malah membolehkan anak-anak mendepani dunia yang dipenuhi dengan lambakan maklumat dihasilkan saban hari.

“Pelbagai pilihan bahan bacaan terdapat di pasaran sama ada bercetak, tidak bercetak atau atas talian. Pilihan bacaan yang berkualiti perlu dibuat bagi melahirkan minda anak-anak ini supaya lebih kreatif dan kritis dalam menjalani kehidupan,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk penerbit tempatan, penulis bebas, institusi pendidikan dan agensi kerajaan kerana sama-sama menjayakan pesta buku kali ini.

“Inilah semangat yang kita mahu terapkan iaitu tentang kolaborasi merentas sektor, kecintaan terhadap ilmu sebagai asas kepada ketamadunan manusia, dan kemajuan berasaskan nilai-nilai murni seperti integriti dan bukan bersifat fizikal atau material sahaja,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, Mohd Shukri turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperluas akses ilmu kepada semua lapisan masyarakat melalui sokongan kepada perpustakaan awam, sekali gus menjadikan ilmu sebagai milik bersama dan bukan eksklusif untuk golongan tertentu sahaja.

Majlis perasmian turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wan Badariah Wan Saad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis serta Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Edy Irwan Zulkafli.

Mengakhiri ucapannya, Menteri Besar yang juga bekas guru itu menyeru agar seluruh masyarakat terus menyokong dan menyemarakkan budaya membaca.

“Membina masyarakat yang gemar membaca bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi menuntut komitmen dan tanggungjawab bersama-sama,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -