Perlu ekosistem mampan sokong penoreh getah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bertindak lebih agresif dalam membantu penoreh getah, bukan hanya melalui bantuan kewangan semata-mata, tetapi dengan membina ekosistem dan rantaian yang mampan.

- Advertisement -

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, keputusan FGV Holdings Berhad untuk menutup kilang pemprosesan getah dilihat bercanggah dengan dasar kerajaan serta menjejaskan keyakinan pemain industri.

“GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) ini sepatutnya menjadi peneraju bagi membina industri strategik negara. Justeru itu, saya ingin bertanya apakah pelan strategik kerajaan untuk menjadikan industri getah lebih mampan dan menarik minat pelabur termasuk GLC sendiri?

“Tambahan pula kenyataan Menteri baru-baru ini meminta kerajaan negeri permudah tukar status tanah pekebun kecil daripada getah ke sawit, seolah-olah menggalakkan peralihan besar-besaran keluar dari getah untuk ke kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Awang turut membangkitkan persoalan mengenai pendirian sebenar kerajaan terhadap masa depan industri getah negara, sama ada kerajaan benar-benar komited untuk memperkasakannya atau sebenarnya sedang membuka ruang untuk ia digantikan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dalam jawapannya berkata, negara tidak seharusnya bergantung kepada satu komoditi semata-mata, sebaliknya perlu mempelbagaikan sumber termasuk keluasan tanah penanaman getah.

“Di antara komitmen kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah program konsolidasi getah terbiar. Program ini sedang kita bangunkan dan program ini membuka peluang kepada syarikat swasta, koperasi dan pengusaha individu.

“Untuk mengurus kawasan terbiar secara komersial, selain mewujudkan peluang pekerjaan tetap dengan pendapatan lebih stabil kepada masyarakat setempat sebagai penoreh,” katanya.

Awang dalam soalan asal minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha kementerian dalam memperkenalkan serta memperluaskan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman dan pemprosesan getah.

Ia termasuk automasi dan digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing pekebun kecil di kawasan luar bandar. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -