Sedia bantu tangani isu ‘pasport terbang’ di sempadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA) dalam menangani isu ‘pasport terbang’ yang dikatakan masih berlaku di sempadan negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) adalah di bawah bidang kuasa MCBA.

Katanya, isu berkenaan tertakluk sepenuhnya kepada kawal selia MCBA, namun pihak polis tidak mempunyai masalah untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan.

“Namun jika pihak mereka memerlukan bantuan daripada polis, kita sentiasa bersedia dan tiada masalah untuk membantu. Kita bersedia beri sokongan pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2025 dan Karnival Kelantanku Cakna 2025 yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu.

Majlis berkenaan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Sebelum ini, media melaporkan aktiviti sindiket ‘pasport terbang’ masih wujud di negeri ini, namun pada skala yang lebih kecil.

Walaupun sempadan Kelantan hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang cetek, kegiatan itu dikatakan hanya berlaku di salah satu daripada tiga pintu masuk utama.

Kelantan mempunyai tiga laluan masuk dari Thailand iaitu Rantau Panjang, Pengkalan Kubor di Tumpat dan Bukit Bunga di Tanah Merah.

Bagaimanapun, dua pintu masuk iaitu Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor lazimnya sibuk dengan aktiviti dagangan dan pergerakan rentas sempadan, menjadikannya kurang digunakan oleh sindiket kerana pengawasan yang ketat. – HARAKAHDAILY 30/7/2025

- Advertisement -