
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memperkenalkan Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA) sebagai wadah memperkasa peranan mahasiswa dalam pembangunan negeri, sekali gus menjadi pemacu utama kepada kebangkitan anak muda.
Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, MINDA merupakan salah satu platform penting yang ditubuhkan untuk menggilap bakat kepimpinan mahasiswa dan mengangkat peranan mereka sebagai agen perubahan di peringkat negeri dan nasional.
“Kita mahu melihat mahasiswa sebagai sosok yang menyumbang secara signifikan kepada negeri Kedah dan negara Malaysia. Kita mahu lahirkan pasukan terbaik yang pernah dihasilkan oleh negeri Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MINDA bagi sesi 2025/2026 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius peranan mahasiswa dan sedang merangka pelbagai inisiatif untuk mengiktiraf kecemerlangan anak-anak Kedah di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Antara inisiatif sedang dibangunkan ialah penganjuran Anugerah Kecemerlangan Kedah, satu bentuk penghargaan rasmi daripada negeri kepada mahasiswa anak Kedah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Anugerah ini dicipta untuk dipersembahkan kepada negeri Kedah dan negara Malaysia. Ia meliputi sembilan kategori utama termasuk kecemerlangan akademik, kepimpinan, keusahawanan dan lain-lain.
“Selalunya, pengiktirafan seperti ini hanya diberikan oleh pihak universiti seperti Anugerah Canselor atau Anugerah Diraja, tetapi kali ini kita ubah pendekatan. Kedah sendiri akan memberikan anugerah ini kepada anak negeri, kerana mereka layak untuk diiktiraf di tanah kelahiran mereka,” ujar beliau.
Menurut Dr Haim, persaingan untuk anugerah seperti ini agak sengit kerana ia merentasi universiti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Darul Aman akan dianjurkan tidak lama lagi, di mana mahasiswa yang berbakat akan dipilih untuk menjadi perwakilan dalam persidangan tersebut.
“Kita akan buka ruang kepada semua bakat yang dikenal pasti, dan kalianlah yang akan memacu persidangan ini. Kita mahukan mereka yang mampu beri komitmen luar biasa.
“Kita percaya, MINDA satu hari nanti akan menjadi satu jenama luar biasa yang bukan sahaja disegani di negeri Kedah, tetapi juga dihormati di seluruh negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, komitmen yang diharapkan bukan sekadar dari sudut kehadiran atau penglibatan fizikal, tetapi juga melibatkan tenaga, kewangan dan fikiran, bagi memastikan visi dan misi MINDA dapat dicapai secara menyeluruh.
Dr Haim turut berkata, penubuhan MINDA bukanlah satu tindakan bersifat kosmetik, sebaliknya lahir daripada komitmen kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menang pada Pilihan Raya Negeri Kedah tiga tahun lalu.
“Selepas PN mengambil alih pentadbiran negeri Kedah, kita melihat keperluan untuk menyediakan platform yang benar-benar berfungsi untuk mahasiswa. MINDA adalah hasilnya.
“Kita tidak mahu mahasiswa hanya dilihat sebagai pelajar semata-mata, tetapi sebagai pemikir, pemimpin dan pelaksana kepada dasar pembangunan negeri masa hadapan,” tegas beliau.
Beliau juga berharap agar pelantikan barisan kepimpinan MINDA yang baharu dapat membawa pendekatan lebih dinamik, terbuka dan berpaksikan agenda negeri.
“Ini adalah permulaan kepada perjalanan panjang. Saya yakin dengan semangat, kebijaksanaan dan keikhlasan anak muda Kedah, MINDA akan menjadi nadi kepada satu gelombang perubahan yang besar,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 30/7/2025




















