HSK pembuka tirai Karnival Kelantanku Cakna 2025

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2025 menjadi acara pembuka tirai kepada Karnival Kelantanku Cakna 2025 yang diadakan buat julung kalinya oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

- Advertisement -

Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, HSK merupakan platform tahunan yang menghimpunkan wanita Kelantan serta mengiktiraf tokoh dan ikon wanita cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Sejak dilaksanakan, seramai 86 tokoh dan ikon wanita negeri serta 73 tokoh di peringkat Parlimen dan DUN telah diberikan anugerah dan pengiktirafan.

“Ini menunjukkan betapa ramainya wanita Kelantan yang cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika berucap sempena perasmian HSK 2025 di Masjid Muhammadi, di sini.

Katanya, sambutan tahun ini memberi fokus kepada isu kesihatan mental dan keprihatinan sosial wanita sebagai tema utama.

“Masalah sosial seperti keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah, lari dari rumah dan sebagainya berpunca daripada keretakan institusi keluarga.

“Puncanya kerana tekanan hidup, tiada panduan agama, tiada bimbingan rohani serta pengaruh budaya luar dan teknologi yang tidak dikawal,” katanya.

Justeru katanya, kekuatan institusi keluarga yang bermula dari rumah sangat penting dalam membina masyarakat sejahtera.

“Ubat bagi semua ini bukan sekadar ubat yang boleh dimakan. Ubatnya ialah kekuatan iman dan kembali kepada fitrah yang Allah tetapkan. Wanita mesti sihat mental dan fizikal kerana mereka adalah ibu rumah tangga.

“Kaum lelaki juga mesti memainkan peranan dengan memimpin rumahtangga berlandaskan iman dan akhlak mulia agar lahir keluarga mawaddah dan sakinah,” katanya lagi.

Sebelum itu, turut diadakan forum bertajuk “Agar Dirimu Semulia Khadijah” yang menampilkan pendakwah terkenal Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa dan Pakar Psikiatri HRPZ II, Dr Nur Ilyani Mohamad Nawawi serta artis terkenal, Noorkhiriah Ahmad Shapie.

Mengulas mengenai Karnival Kelantanku Cakna 2025, Rohani berkata, ia adalah kolaborasi besar program utama di bawah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (UKEKWA) sempena 35 tahun pentadbiran “Membangun Bersama Islam”.

“Karnival ini melibatkan sembilan program utama seperti Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah, Hari Warga Emas, Podcast Di Bawah Naungan Satu Ayat, Hari Kebajikan Negeri Kelantan dan Sulam Kasih Ambang Merdeka.

“(Juga) Pertandingan Pakaian Inovatif Merdeka, Fun Walk Che Siti Wan Kembang, Bengkel Jati Diri Anak Yatim, Forum Perdana dan Malam Kesenian Islam bersama Kumpulan Nasyid Hijazz,” katanya.

Karnival ini turut melibatkan agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), U-Bes, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKNK) serta pelbagai jabatan kerajaan lain.

Turut diadakan reruai pameran, khidmat nasihat agensi serta Pasar Che Siti yang menjadi tarikan utama kepada orang ramai.

“Kita sasarkan hampir 2,000 pengunjung setiap hari sepanjang empat hari karnival ini berlangsung. Kami jemput semua rakyat untuk bersama-sama memeriahkan acara yang telah disusun dari pagi hingga malam,” katanya.

Rohani turut merakamkan penghargaan kepada pihak MAIK dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Muhammadi atas kerjasama menjadikan masjid tersebut sebagai lokasi utama karnival.

“Kita dapat merasai masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat yang bukan sahaja memperkukuh jaringan sosial, bahkan mendekatkan masyarakat dengan nilai ibadah dan kefardhuan solat,” katanya. – *HARAKAHDAILY 30/7/2025*

- Advertisement -