
PADANG BESAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 yang berlangsung di Teak Eco Park, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer, di sini kelmarin.
Majlis berlangsung penuh istiadat itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Turut hadir Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr. Ismail Parlan, bersama-sama wakil agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri serta wakil institusi seni, budaya dan warisan.
Program anjuran bersama FRIM, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs), dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) ini bertujuan memperkasakan reputasi Jati of Perlis ke arah pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) serta penarafan sebagai Royal Perlis Jati Craft.
Dengan berlatarbelakangkan kehijauan Tapak Biologi, Perlis Geopark, program ini menjadi wadah interaktif untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan kelestarian alam semulajadi melalui warisan jati tempatan.
Program ini merupakan salah satu aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPNPs dan FRIM bagi kerjasama penyelidikan, pembangunan dan aplikasi (R,D&A) untuk meningkatkan keberhasilan industri huluan dan hiliran perladangan jati demi kelestarian alam sekitar dan kemampuan ekonomi komuniti negeri Perlis.
Program ini telah menggabungkan semua institusi yang berkaitan seni, budaya dan warisan di bawah satu naungan bertemakan zaman dahulu kalau menggamit nostalgia dan memori di bawah dirian pohonan jati.
Tuanku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta mengurniakan hadiah bagi Pertandingan P. Ramlee dan Saloma serta Sektsa Klasik.
Juga, baginda berkenan menyaksikan Sesi Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama antara FRIM, FRIM Incorporated Sdn Bhd dan Smart Teak Craft.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuk pameran produk kraf berasaskan jati (Tectona grandis), demonstrasi kraf kayu, forum industri, sesi padanan perniagaan serta pelbagai aktiviti ekopelancongan dan kesenian berkonsepkan nostalgia zaman dahulu.
Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 merupakan satu manifestasi usaha bersepadu memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan industri jati tempatan demi kelestarian alam dan peningkatan ekonomi komuniti Perlis. – HARAKAHDAILY 29/7/2025




















